Tuesday, March 30, 2010

Bukan kata “Orang Tua Dari Sejarah”


MINGGU lalu puisi membawa saya kembara ke Selatan pula. Cuaca indah, sambutan mesra. Saya baca tiga buah puisi di pentas siswa di Universiti Teknologi Malaysia. Janjinya saya hanya mendeklamasikan “Hidup Bersama” yang saya tulis sedekad lalu. Tapi, saya digalakkan—maka saya baca dua buah puisi tambahan: “Tikaman Dalam Seloka” dan “Orang Tua Dari Sejarah”.
Dengan bekalan royalti baca puisi yang sangat selesa, saya menyeberang ke Singapura. Sempat sarapan di Arab Street; sempat ke Masjid Sultan; dan kemudian sempat tenggelam hampir empat jam di pustaka buku seputar Orchard Road. Ghairah membeli buku “Malaysian Maverick” oleh Barry Wain yang tak terjual—atau terlarang—di negara saya.
Dalam bas ke Singapura, saya sempat membaca berita-berita genting tentang mesyuarat agung pertama Perkasa. Penuh semangat, penuh selaran—juga sindiran—oleh Perkasawan atasan. Melayu sedang dicabar—begitulah intinya. Tapi, saya terfikir juga, bukankah segelintir perkasawan Melayu itu sendiri yang mula mengacip martabat rajanya dulu. Sudahkah kau lupa atau masihkah kau ingat?
Aneh, kini kita pula diingatkan tentang bahaya yang kita ilhamkan sendiri.
Siapa pula pengingat ini? Sebelum benar-benar menelannya, wajar dan waraslah kita selongkari latar (depan-belakang) wira-wira kita itu. Kenapa perkasawan ini tiba-tiba muncul demikian garang sekali?
Siapa, ya, penegaknya yang jujur itu? Siapa, ya, yang sangat bermurah hati mendanainya? Siapa, ya, yang mula menjeritkan kesengsaraan kita ini?
Dalam kereta api pulang ke Kuala Lumpur, sempatlah saya mengunyah sedikit buku “Malaysian Maverick” oleh Barry Wain. Sangat menarik, walaupun kita wajar berhemah dan berhikmah sebelum menelan segala. Contohnya, tentang “kerugian” iktisad yang ditimbulkan selama dua bekas Perdana Menteri kita berkuasa. Waduuh, berbilion! Kata Barry Wain, ya, bukan kata saya!
Pemimpin utama negara kita sebenarnya didudukkan pada kerusi yang terhormat juga. Contohnya lagi (kata Barry Wain, bukan kata saya): “Dr. Mahathir was one of the most successful and enlightened.” (Halaman 342).
Tapi, kata Barry Wain, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong “clearly outperformed him.” Sekali lagi bukan kata “Orang Tua Dari Sejarah” atau “Tikaman Dalam Seloka.”

Tuesday, March 23, 2010

Sangat Selesa Saling Berdusta


DUA minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat—berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.
Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.
Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini “sah” penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.
Saya cuma ingin menaati pesanan Ka’ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka’ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.
Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah—terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin “jet” sendiri; tertular pejuWang melelong diri.
Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan—dan serentak— menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.
Lihat—kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?). Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?). Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?). Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas PM; berhujah tentang pencemaran makna “royalti”; berdebat tentang mengapa selepas 6 PM Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?
Pemimpin kita hanya duduk semeja sejak Merdeka. Mereka sangat selesa saling berdusta. Dan gemar menyebut “Melayu mudah lupa!”

Wednesday, March 10, 2010

Yang Penting Mutu, Bukan Kutu


DALAM dua tahun ini kita bakal menghadapi cabaran yang genting dan getir. Apakah benar bahasa Melayu bakal sejujurnya dimartabatkan? Yang jelas, pada 1987, Akta Bahasa dimaruahi; pada 2003 Akta itu diludahi. Dan kini bahasa Melayu sedang gusar dalam buana mimpi.
Sebenarnya, sehingga kini kita masih hidup dalam dunia janji. PPSMI belum dimansuhkan. Ia ditangguhkan. Kita baru dijanjikan bahawa dasar itu akan hanya terhenti pada 2011 atau 2012. Maka itu, wajarlah kita hubaya terhadap peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar bahasa.
Di sebalik latar inilah, saya harap perlawanan seni kita itu akan terus menyegar. Memang perlu sentiasa ada gerak daripada kita. Perlu terus dijeritkan lara bahasa di tengah malam. Dan jika merasa lelah, biarlah diam kita diam yang sufis.
Kita ada kelompok Budayawan Bertindak untuk menjayakan ini. Dengan tabah, tapi tekun, mereka bakal cekal bergerak. Biar setapak, tetap ke depan; biar setitik, tetap berkocak.
Sebagai badan seni kecil yang sasa, hendaknya Budayawan Bertindak janganlah cepat menelan sebarang slogana janji peruncit kuasa. Peruncit kuasa ini memang terbiasa dengan cara kerja “pantas pintas pentas”. Apalagi di sisinya sedia terhidang dana yang gergasi. Rahsia kejayaannya: Mereka memang jarang menggunakan tangga; mereka juga jarang menggunakan lif. Sebaliknya, mereka menggunakan helikopter dan turun enak dari atas.
Kelompok jenis ini memang sangat berkuasa. Dengan magis helikopternya, mereka mendadak menjadi hartawan. Kekayaannya bukan lagi hujan lebat; kekayaannya, banjir memampat. Makanya, mereka mempunyai dana mengejut yang boleh mengecutkan sesiapa saja, jika sesiapa itu masih manusia—maksudnya, bukan kelompok vampir.
Memang mereka inilah saingan kita—peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar!
Contohnya, melalui kuasa dana terduduknya itu, mereka mampu menghadirkan yang ghaib; dan menghaibkan yang hadir.
Situasi siasah sedang bergolak gelisah. Mula ramai pejuang menjadi pejuWang. Terlaksanalah “seleksi alami”. Eloklah. Sebab, yang penting mutu, bukan kutu!

Thursday, March 4, 2010

Jangan Ulangi Kerja Lanunan


PADA 7 Mac ini, saya akan mengenangi semula sesedarnya bagaimana di tengah arus 100,000 para demonstran, saya telah disambut dengan permaidani najis oleh pemerintah saya. Waktu itu saya hanya ingin menjunjung betapa murninya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Malang, saya dicemuhi. Jika diluhuri, mengapakah pendukung hajat murni itu mesti dihadiahkan air dan gas yang pedih dan pedas?
Pada 7 Mac ini genaplah setahun peristiwa PPSMI yang amat memalukan itu.
Dan, sayangnya, kita sebenarnya masih terus dimalukan—mungkin sehingga tahun 2011 atau 2012. Kalaulah janji menteri janji keramat.
Sebelum menyertai gerakan murni GMP itu, saya telah cuba menghadami semangat Perkara 152 itu. Saya pelajari bahawa Perlembagaan di bawah Perkara 159(5) itu jelas menyebut bahawa kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Saya ulangi “kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja.”
Tapi, ternyata bukan begitu yang dilaksanakan.
Fahamilah bahawa segelintir pemimpin leluhur Kemerdekaan kita telah dengan penuh sedar dan bijaksana melandaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara demi perpaduan dan kesejahteraan bangsa. Malangnya, segelintir pemimpin masa kini kita sangat terpesona dengan “keistimewaan” masa kini, lalu terlupa atau sengaja melupakan keluhuran perjanjian masa lalu.
Kita telah—dan mungkin sedang—memulakan kecenderungan baru yang sangat menggerunkan. Kita merobah sesuatu tanpa merujuk dan menyetiai perlembagaan leluhur lalu. Jika semua kemurnian perlembagan masa lalu dicarik seenaknya oleh pemimpin masa kini—dan pemimpin masa depan—tanpa meluhuri perlembagaan masa lalu, apakah kita sengaja ingin mengajar cucu-cucu kita supaya jangan segan “kencing berlari”?
Itulah tampaknya budi bahasa yang sedang kita pupuk. Kita membiarkan seorang Perdana Menteri yang secara angkuh dan mendadak melanggar Akta Bahasa ketika sedang di ekor kuasanya pada 2003! Kita seperti terlupa bertanya mengapa visinya itu membernas terlalu lambat?
Jika sungguhpun kita yakin bahawa bahasa Melayu tidak mampu memberi rezeki global, lakukanlah semurni santun. Pindalah Akta itu dulu jika Akta tersebut sangat menghalang rezeki global bangsa. Janganlah mengulangi kerja lanunan itu.
Pada 7 Mac ini, itulah yang saya ingin kenangi. Sungguh pedih.