Sunday, May 23, 2010

Berjaga-jaga Dulu Sebelum Berubat


KITA guguri dulu bebunga kata dan senyapi melodi indah untuk jujur menikmati fakta nan sakti. Kita belajarlah menjadi pentadbir tulus yang sentiasa cermat dan jimat, bukan berlagak sebagai halobawan yang terlalu percaya dana negara miliknya saja.
Dengan latar seluhur dan sebenderang itu, kita kembali sejenak ke dunia siasahwan yang tampaknya masih megah mendabik dada. Kita santuni diri untuk melihat ragam dunia kekuasaannya melalui tafsiran kuasawan lain. Kuasa apa pun di dunia ini ada tarikh lupusnya.
Sejauh ini kita jarang mendengar khabar untuk mempersubur semula ekuiti orang Melayu yang telah menggelonsor daripada RM50 bilion kepada hanya RM2 bilion. Tampaknya seolah itulah "kecapaian" kita selama lima dekad merdeka! Tidak juga terdengar bisikan apakah ekuiti yang mengecil itu sedang mengecil lagi, atau dalam diam dan sepi, ekuiti itu sedang mengelembung dan melambung? Yang sempat kita dengar dengan amat jelas, malah nyaring, ialah dua buah syarikat gergasi pendukung ekonomi Melayu sedang kerugian--berbilion jumlahnya. Bererti bahawa orang Melayu masih mencungap sakit di katil hospital iktisadnya.
Tampaknya, ada cara cepat untuk menambah dana negara. Contoh termudah ialah mendapatkannya melalui pungutan cukai--ya, seperti lazimnya--dan antara upaya terbarunya melalui "halalan" hasil judi haram tikam bola. Tapi, maaflah, apakah itu yang menjadi dana belanja negara, atau ia tetap juga bagi tambahan ekuiti orang Melayu? Dan soal murninya apakah atau bolehkah sedikit sebanyak keuntungan "haram" itu disedut bagi manfaat dharma Islami? Itupun, kalaulah tulen sungguh pegangan Islami kita.
Kerana itu, mungkin waras juga jika kita tekun mengesani bagaimana negara (kebetulan kebanyakannya negara bukan Islami) membabat penyakit iktisad mereka. Berpalinglah sebentar ke England dan Greece--berpaling sebentar saja! Di England kini terdapat dua buah parti berlainan landasan sikapnya tiba-tiba bersedia untuk mengatasi krisis ekonomi bangsanya dengan menyetujui membabat kegusaran defisit $235 bilion dengan serentak dan mendadak mengurangkan belanja tahunan negaranya sebanyak seputar 67 bilion (pound sterling) bagi perbelanjaan 2010-2011. Mereka cepat bertindak.
Sementara Greece pula tampaknya bersedia bertindak mengikat perut rakyatnya secara berlebihan (sehingga terpercik rusuhan) untuk mewarasi pengimbangan hutang penuhnya sebanyak $193 bilion melalui hutang darurat yang diberikan kelompok keluarga EU dan IMF sebanyak $145 bilion.
Alhamddulillah, kita belum terlantar di hospital iktisad lagi. Masih mewah luarannya, tapi tidaklah kita ketahui sangat dalamannya. Betapapun, waras dan wajiblah kita berhubaya-hubaya. Petanda penyakit iktisad itu sebenarnya mula menjengah khusus kepada tabib-tabib iktisad yang malim. Sebelum kuman iktisad negara kita merebak, eloklah kita berjaga-jaga dulu sebelum terpaksa berubat?

Monday, May 17, 2010

Lahirlah Zuriat Kuasawan Baru


MITOS cenderung menetaskan mitos. Lazimnya begitu. Berlaku pada zaman dulu; berlaku pada zaman ini. Paling jelas berlaku dalam dunia siasah. Dalam dunia siasah—kuasa dan harta cepat bercinta, ghairah mengandung, montel melahirkan. Memang, seelok ranum ketikanya, maka lahirlah zuriat kuasawan baru. Di India, Rahul; di Filipina, Noynoy; di Malaysia? Congaklah sendiri.
Begitulah nikmatnya jika kita saja-saja rajin menerik iktibar daripada filem luar. Kisahnya—pertarungan budaya (Ip Man) dan siasah (Sura). Donnie Yen pertahankan seni kung-fu; Vijay pertahankan hak murbawan.
Rupa-rupanya, melalui layar filem luar kita masih boleh mengunyah hemah.
Cuma, contoh sepontan yang dipaparkan ini agak lain sedikit. Seorang murbawan teliti menghayati dua buah filem iktibar, membeli buku agama dan angka, meminum teh di kafe MidValley sebelum nyenyak tidur selepas menghadami hadis Taubah. Contoh pada hari yang sama, seorang siasahwan deras berkejar ke tiga empat kawasan pilihanraya dengan kereta kilatnya (hak kerajaan tentunya), berkempen dengan hembusan pelbagai janji syurgawi, malah, di mana wajar, serentak saja menaburi “royalti” yang bukan dari peluhnya sendiri.
Soalnya, siapakah di antara mereka ini yang lebih padat nikmatnya dalam sehari itu? Murbawan tulus atau siasahwan fulus?
Dan aneh pada minggu yang sama, Greece terketar memaut lutut pemimpin Jerman mengharap bantuan dana Zon Eropah dan IMF yang sebenarnya berdolak-dalik dijanji hingga terpercik rusuhan ngeri. Malapetaka kewangan itu sebenarnya berakar dari pemborosan pemimpin juga—dana dalam, kempis; hutang luar, kembang!
Kata seorang sufi setaraf Jalaluddin Rumi: Hidup syahdu sehari sudah mencukupi daripada hidup kaudu bertahun.
Tentulah hidup kaudu itu berlaku kerana wujudnya kecurangan di mana-mana. Malangnya, kita tidak ada cermin luhur untuk dibanding.
Dalam negeri sendiri memang tidak disediakan cermin sejati. Semua media utama memaparkan kepalsuan sebelah. Makanya, kita wajar menghidu sendiri iktibar dunia angka yang mengusik: $60 bilion; 163 bilion (pound); RM1.63 bilion di sisi dunia nama yang mengasyik: Greece; George Osborne; Sime Darby.

Wednesday, May 12, 2010

Belajar Mengenal Tabii Eyjatjallajokull


IKLIM siasah di tanah air tampaknya hampir sepayah mengeja nama Gunung Eyjatjallajokull di Iceland. Gumpalan asap debu gunung berapi itu masih mengacau laluan udara. Sementara di permukaan bumi, pembuakan minyak mentah sedang mencemari Teluk Mexico. Bisik atau jerit alam, tampaknya, mempunyai bahasanya sendiri yang kurang kita fahami susunan abjadnya.
Di balik latar resah alam dan insan itulah, suka atau benci, kita terpaksa tekun belajar. Kita sedar bahawa alam mempunyai tabiinya sendiri—indah dan hodoh. Dan manusia—lebih-lebih lagi kuasawannya—mempunyai tabii aneh yang setara—indah dan hodoh juga.
Begitulah seminggu ini, kita sempat belajar membaca perangai alam dan tabii manusia. Pada waktu-waktu tertentu memanglah sukar kita bedakan antara yang manusia dan yang Eyjatjallajokull. Tapi, masih ada yang boleh dipetik sejernihnya daripada sekeruhnya. Gelora tenang kesan pilihanraya di negara J.K. Rowling, contohnya. David Cameron (Conservative), Gordon Brown (Labour) dan Nick Clegg (Liberal Democrats) sudah pun bercongak mewaraskan hirarki dan manfaat kuasa. Rundingan pergi balik yang berlansung meresahkan murbawan Great Britain akhirnya jinak apabila terbayang Cameron menggantikan Brown. Kita sempat petik iktibarnya.
Tapi, yang sangat awal boleh bantu meranum kita ialah renungan kita terhadap cara siasahwan Britain membabat geram dan cinta politiknya. Ternyata, mereka berlari atas padang munasabah. Contohnya, di negara Stephen Hawkins itu tidak terhembur kempen cemuhan atau tohmahan yang mula kita budayakan. Para kuasawan Britain tidak menjerit atau menghadirkan projek pembangunan mendadak di kawasan kempennya. Malah mereka tidak menggila dan spontan mencurahkan dana dulang emas kepada keluarga tua, sekolah uzur, kompleks retak dan peladang tersisih, yang sebelum pilihanraya terlupa—atau memang dilupakan—ditangani.
Hanya pada masa pilihanraya kecil mendadak kesemua kemacetan itu tiba-tiba ingin disembuhkan secepat silap mata sehingga payah bagi kita mengadili apakah yang dibelanjakan dalam kempen pilihanraya itu wang parti calon yang bertanding atau dana kerajaannya—wang rakyat. Belanja yang salah adalah rasuahan.
Terlalu banyak kekalutan Eyjatjallajokull dalam kerenah kita mengendalikan pilihanraya. Kita sebenarnya lupa menjinakkan jentera itu sebagai kuda sopan atau kita memang sengaja ingin menungganginya saja.

Tuesday, May 4, 2010

Cara Berkempen Bukan Ala Malaysia


PADA 6 Mei ini rakyat Great Britain akan membuat keputusan penting: Memperkekal pemerintahan Parti Labour atau menyingkirnya. Parti Labour (kini pimpinan Gordon Brown) telahpun berkuasa selama l7 tahun!
Saya tidak begitu terpesona dengan parti mana yang bakal menang—sama ada Parti Buruh pimpinan Gordon Brown, Parti Conservative pimpinan David Cameron ataupun Parti Liberal Democrats pimpinan Nick Clegg.
Saya hanya terpesona dengan isu dan cara ketiga-tiga parti itu berkempen.
Yang jelas, tidak terdengar munculnya calon-calon bertanda harga yang berdebar menanti untuk dibeli. Juga, turut jelas, para calon pilihanraya itu tidak coba membenam sesama sendiri melalui pembeberan kisah glamor dan songsang peribadi masing-masing.Yang diutamakan ialah soal isu penting dan landasan parti. Isu—untuk umum; landasan—untuk parti.
Khabarnya, “bahan” terbesar ialah masalah mengatasi defisit kantung negara. (Britain rasanya tidak mempunyai dana dulang emas sesubur Malaysia!). Oleh kemelesetan ekonomi dunia, lebih-lebih lagi oleh pemborosan belanja melanggar Iraq, ekonomi Britain telah menguncup dan sedang mencungap. Lalu, masing-masing pemimpin coba membentangkan peta cara dan kerja mengatasi masalah darurat itu.
Pemimpin Liberal Democrats—Nick Clegg—sedia mengikis projek mempermoden armada kapal selam Britain. Terlalu menggunung belanjanya, hujah Clegg. Ada masalah lain yang lebih utama dan mendesak—rancangan kesihatan dan pendidikan.
Dalam simpang-siur kempen khabarnya Nick Clegg sangat menyerlah. Wajahnya tampan, inteleknya santan. Sejauh ini, Gordon Brown daripada Parti Labour sempat diistilahkan sebagai petanding “yang kembali dari tanah pusara”. David Cameron pula sempat diwajahkan sebagai tenaga penentang yang titan.
Kembali kepada soal isi dan cara berkempen, tampaknya, tidak terimbas kesiasiaan atau kecurangan yang mendedah. Ketiga-tiga parti utama itu ternyata sedar akan batasan tindakannya. Parti Buruh coba “membuat” sesedikit kesilapan—contohnya, tidak memperalatkan jentera kerajaan untuk kerja kempen partinya. Malah, Gordon Brown tidak pun mengumumkan sebarang projek gergasi atau mencurahkan dana dulang emas seenaknya.bagi pemancingan undi.