Friday, April 30, 2010

Perampok Tanah Air


Kini kita wajar menilai pemimpin sekeluarga—
mereka yang petanya tidak terjangkit wabak pelupa.
Kita perlu mendengar degupan batinnya yang insani;
bakal tumbuhkah benih yang terharum di ladang sendiri?
Kita harus meneliti pemimpin yang membuak mewah;
apalagi yang terbukti menimbun dana keluarga.
Mengapa bisiknya menggema menyaring jeritan
sementara jeritnya melemah pula jadi bisikan?
Kita wajar sangsi mereka yang bau ringgitnya hangit,
sepantas mana mereka menjadi kuasawan boncit.
Dan benarkah murni suara syair dirinya yang dusta
atau merekalah penggelora janji pelindung dosa?
Usah langsung dipercaya segala yang tertayang luhur,
manis petah berjanji—lakon yang sangat cantik teratur.
Kerana, memang makin ramai yang muncul bertopeng fakir,
sesenyapnya merekalah para perampok tanah air.
Kejujuran yang tulus di luar dan terindah di dalam—
paling luhur itulah sebenarnya negara idamkan.
Usahlah direlakan kehidupan kita mewah kini
dengan sengaja melarakan nasib generasi nanti.
9—13, September, 2009. A. SAMAD SAID.

Tuesday, April 27, 2010

Bermenung Tentang Erti Kekalahan


Bermenung Tentang Erti Kekalahan
MINGGU lalu hari kekalahan saya yang sangat memilukan.Calon matang dukungan Pakatan yang saya sokong di Hulu Selangor dikalahkan oleh calon muda dukungan Barisan. Saya bermenung lama tentang kekalahan ini. Logikanya mungkin begini:
Saya mengucapkan tahniah kepada beberapa pihak yang memungkin dan memangkinkan. Pertama, sokongan Perdana Menteri ke-4 (yang mulanya dikatakan tidak akan berkempen) tampaknya meranum.
Kedua, sokongan beberapa orang bekas “tokoh” parti Keadilan yang tampaknya secara mendadak merasa tidak serasi berpakat lagi. Mereka menjerit keluar parti pada saat paling cantik—musim berkempen. Dengan begitu, sempatlah mereka membantu Barisan. Tahniahlah kerana berhasil melumpuhkan sejenak bekas partinya.
Ketiga, kerjasama segelintir kaum peladang yang tidak tersangka (kerana mereka sebenarnya telah menunggu 15 tahun) tiba-tiba menerima cek panas bernilai RM50,000 setiap seorang. (Bakinya akan menyusul—diharap tidak selambat 15 tahun lagi!) Mereka dan teman seputarnya tentunya tergalak untuk mengundi parti yang sangat mendadak bermurah hati itu.
Keempat, jentera media massa utama yang sentiasa condong sebelah—terkadang terlalu sengit. Hampir saban hari selama musim berkempen mereka adalah “pemuji” (tentunya memuji Barisan) dan “pengeji” (tentunya mengeji Pakatan). Tidak mustahil layar mega yang dipaparkan seiring corong jerit yang disediakan telah terlalu menggempitakan kebaikan budi tuannya saja.
Dan, akhir sekali—sepatutnya ini yang utama—semua wira Barisan hampir berpesta di Hulu Selangor (daripada peringkat Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri, malah bekas Perdana Menteri!) Apalagi yang kurang?—kerana setiap ucapan mereka sentiasa digandingi atau disokongi bayangan kerdipan isi dana dulang emas yang sentiasa tersedia di sisi kuasawan itu.
Sementara, di sebelah Pakatan, mereka juga berkerja keras. Saya sempat bersama Datuk Seri Anwar pada malam puncak pertama berkempen. Puisi memanglah bukan wang ihsan daripada dana dulang emas yang boleh cepat bersilap mata. Puisi selalunya adalah doa hati nurani. Ya, kalah setakat ini, tapi saya akan sedia membantu Pakatan lagi. Kepada sdra Zaid, saya ingin berjanji (maaf, terhilang pula kata Melayunya) pinjam dululah lirik Michael Jackson dalam bahasa PPSMI: “I’ll be there!”

Sunday, April 25, 2010

Suara Tulus


Suara ini lembut menghiburkan
dunia resah rindu diceria;
bisik udara tidak terhuraikan
penuh harapan di sisi doa.
Suara ini tulus mengindahkan
rimba damai segaran bunga;
harum rasa paling mengharukan
memupuk buana berhikmah hemah.
Tulus hati landasan maruah,
khidmat murni bakti mengerti;
tak mungkin terisi hajat semua
begitu kemasnya susun alami.
Suara ini yang bakal dibaja,
menjernih fikir meluhur hati;
akan terimbas ufuk syahdunya
rimba bernyanyi senyuman diri.
Rindu Ibu
2004

Wednesday, April 21, 2010

PELAMIN KUASA


(1)
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba
atau digalak bangsawan memetakan hidup kita.
Hemah sejarah telah mencatat hikayat perang
banyak merakami watak begini yang sering menang.
Menara kuasa yang diregangi niagawan lapar
selalu serasi berkongsi dengan bangsawan gusar.
Mereka sekedar pelolong janji sedap diucap—
resah bangsa kayak untuknya saja menikmat kecap.
Mereka berkucup kuasa lepas pilihanraya,
mencanang wawasan terjempol pemimpin rasukannya.
Awal kuasa diumum kempisnya saku mereka;
akhir tahta jarang pula disebut boyot hartanya.
Mereka pengilham pintar projek sekembung belon,
menggendut bahasa tuan arca semewah bilion.
Lidah ibunda sengaja dilucai kacip kuasa,
malah diseret keluar istana Akta Bahasa.
(2)
Khazanah kita titisan peluh nelayan, petani,
peladang dan pekerja berbahasa bunda sejati.
Mereka setulus hati merenda sejarah diri,
membabat ayat yang sudah amat lama digergaji.
Kini kelompok berdarjat ghairah menyemai dinasti,
bumi seolah sahamnya saja untuk dibahagi.
Gelodak peristiwa hanya penaka silap mata
giur catur yang bersimpang-siur di jalur kuasa.
Mereka ini Lini baru dalam songket Melayu,
berdakap hajat bercapal dan bersongkok SiHit baldu.
Mereka hartawan boyot di pentas wira haloba,
niagawan bangsawan yang pintar perkuda kuasa.
Mereka telah dibekalkan semontel-montel dana,
tampaknya makin bernafsu menoreh lidah moyangnya.
Niagawan dan bangsawan kini bersanding kuasa
menjamu projek dan meratah dana semewahnya.
Rakyat perlu menghakis mimpi yang terlalu buana
supaya tak segelintir saja menogok kuasa.
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba;
usah digalak kuasawan terus menconteng peta.
12—24, April, 2009. —A. SAMAD SAID

Tuesday, April 13, 2010

Banyak Kuih, Banyak Puspa, Banyak Kata


JUMAAT lalu—9, April—ramai teman seniwan meraikan 75 tahun usia saya. Banyak kuih, banyak puspa, banyak kata. Tapi, sebenarnya pada malam itu, bermulanya pameran solo lukisan saya—“Kata Luhur”—di Balai Seni Lukis Negara. Di situlah segala kemeriahan tertumpah.
Sepatutnya, saya gembira. Tapi, qalbu saya terdera kerana sepanjang hidup dewasa saya asyik saja menyaksikan negara resah. Itulah juga sebenarnya antara deduri kehidupan yang tercurah ke dalam 100 buah lukisan saya.
Kenapa, ya, qalbu terdera? Orang tua gemar memetik kiasan—menjengah jauh menggali iktibar. Ciumilah betul-betul harum-hanyir sejarah kontemporer kita.
Malaysia sepatutnya sudah mewah—malah bahagia. Orang Melayu dengan segala peluang dan dana dulang emasnya sepatutnya makmur dan bahagia. Mereka menjadi akar segar kebahagiaan bagi semua rakyat Malaysia. Tapi, realitasnya sangat membingungkan. Pedih malah. Ekuiti bangsa sendiri pun kini tercatat tinggal hanya RM2 bilion. Awalnya RM54 bilion. Siapa penggogoknya? Itu baru sekedar satu contoh. Dan, renungilah, kita sudah 6 dekad Merdeka di bawah 6 PM Melayu—(saya ulangi: di bawah 6 PM Melayu)—yang kesemuanya wira UMNO!
Jika sesudah perjalanan sejauh itu dengan kuasa amat lama di tangan, tiba-tiba kita masih juga perlu diselamatkan Perkasa, apakah hikmahnya 5 dekad kita berkuasa?
Lukisan ringkasnya mungkin begini: Kita sering di tengah percakaran. Kesani sajalah peta kuasa pemimpin kita. Cantik mulanya. Tun Razak yang tenang berilmu serasi di sisi Tunku—satu permulaan penuh cemerlang. Tun Hussein yang peneliti memang tidak sempat banyak berbakti kerana singkat usia pentadbirannya. Hanya selepas mereka berdua tampaknya bermulalah musim “Melayu mudah berbalah”. Antara contoh tercantik lima dekad ini. Paling jelas:
Tun Mahathir berbalah dengan Tunku; tidak selari dengan Tun Musa; kurang selesa dengan Tengku Razaleigh; bergeser dengan Datuk Seri Anwar; mengkritik Tun Abdullah petikannya sendiri; juga, mulanya, membidas PM Najib. Apa, ya, yang kita sempat jumpa dalam belantara iktibar?
Jumaat lalu saya menyambut 75 tahun. Banyak kuih, banyak puspa, banyak kata. Dan banyak lara!

Wednesday, April 7, 2010

Melalui bahasa kicau yang tangkas


BEBERAPA adegan terbaru dunia siasah tampaknya semakin surreal atau separuh hikayat. Mula jelas dan kerap terenjis—barangkali tersimbah—wang ihsan daripada dana dulang emas dalam keghairahan dan keborosan baru pilihanraya. Pembangkang, seperti biasa, terpaksa berjimat belanja mencermati dana pinggan tembaganya.
Memang kempen siasah sudah pun bermula pada ketika yang sebenarnya belum pun wajar bermula. Tapi, siapa peduli “peraturan”? Memang kini semakin muncul kuasa yang tidak lelaki lagi.
Kuasa, tampaknya, memang adik beradik harta. Makanya, harta tolong kuasa; kuasa gogok harta. Begitulah kini ragam dan resam kuasawan baru mendaki puncak banjaran gelojohnya.
Bagi sesetengah siasahwan memang perlu bergayut dulu pada kuasa. Sangat utama. Apa yang terjadi kemudian—tak mengapalah. Sebab, harta sudah bergayut mesra pada baju bertanda harga. Matlamat lain—tentunya ada—dan tentunya akan lebih mudah disambar selepas ada harta. Ingat, harta tolong kuasa, kuasa gogok harta!
Dari satu sisi—khususnya di Hulu Selangor kini—tentulah sudah ada ibu bapa yang terbeliak melihat sekelompok kanak-kanak yang bakal dipercantik menjadi permata. Malah, sudah pun terbayang curahan RM200,000 “royalti—atau wang ihsan” daripada dana dulang emas kepada projek yang sangat manis dan semendadak itu.
Entahlah, pengenalan terbaru iPad nanti mungkin juga akan lebih cepat mencanggihkan kita. Tidakkah mainan baru iPad itu nanti boleh menjadi hadiah agihan untuk mempertebal kuasa. Sudah adakah yang terfikir ke situ?
Tapi, masih sangat wajar diinsafi bahawa kegelohohan itulah yang biasanya membuat orang—khususnya Wakil Rakyat bertanda harga—berdoa (luhurkah doanya itu?) agar mudah-mudahan dirinya cepat terbeli.
Sekali lagi, di sebalik latar klasik mutiara kata pemimpin “Melayu mudah lupa”, sudahkah dilupa (atau masihkah kau ingat?) melalui bahasa kicau (twitter) yang tangkas dan cerdas serta yang cengkam dan menikam, kata rakyat pula: “Melayu ingat bangat!”. Betapapun, tentu saja bergantung kepada orang Melalu yang sempat dan cekal bertanya mengapa, ya, setelah 6 PM Melayu berkuasa bangsanya semakin diingatkan tercabar? Apa yang dibuat mereka selama enam dekad berkuasa?