Thursday, June 28, 2012

Generasi Yang Gagah


                     1

Anak-anak ini, dalam segar tumbuhnya
dengan tangan baka sedia meredah rimba.
Setiap akar pohon sedang menyapa mereka
dan dibalas dengan senyum amat mesra.
Dinampaknya air sungai dan sekawan ikan -
percik dan kelip warna dari isi alam
subur yang begitu sekali menjanjikan.
Disukatnya puncak gunung yang rahsia,
disaksi kaya khazanahnya yang tersimpan,
Anak-anak ini senyum ranum abad baru,
mata cergas enggan diganggu angin sedu
kerana mereka adalah pencari yang berazam,
juga penemu dan pemelihara yang setia,
bangga mengibarkan bendera bangsanya.

Anak-anak ini pengejar utama cita-cita,
pendendang lagu bangsa tumbuh dari kalbu.
Mereka, bakalnenek moyang kemerlap permata,
mengiringi rindu, sayang dan setianya
dalam dakapan erat yang tak terpisahkan.
Mereka santuni tanjak dan keris penuh maruah,
menghantar pantun sebagai bahtera utama.
Mereka memang sedar segala telah bermula,
mengasihi baka, mengisytihar hidup bersama
dan berazam cekal untuk ke depan sentiasa.


                        2

Dan hati, mata mereka tetap padat melihat:
Dengan sanubari jujur yang amat menyukat.
Dan bersama adil rasa dan inti ilmu
mereka adalah generasi bangun tanpa jemu,
kerana telah dicabut setiap rumpai sesia
dan sedang dipupuk resam, tekad dan janji
supaya dirinya sentiasa elok dan berbudi,
sentiasa menyedari perjuangan bererti.

Sekarang ini berdirinya bersandarkan kata
yang tidak dilukakan dan dengan janji
yang tidak dipalsukan. Bahasanya padat
beradab, indah yang amat menjunjung,
menjadi busana dan gemerlap permata, batinnya.
Segala nafas dan tenaga, dari tapak awal
ke akhirnya adalah gerak tangkas panglima,
kerana mereka anak-anak pembangun murba,
pengisi dan penyubur patuh tanah airnya,
tidak akan membiarkan benderanya tercarik,
tidak juga kedaulatan bangsanya diusik.
Mereka memang anak-anak waja bernafas baru,
tidak rela kalah dan tentunya tidak ingin malu.
Mereka adalah tenaga kersani tanah air
sentiasa bertindak ikhlas mewarnai langit abadnya.


                        3

Mereka juga pengumpul ilmu sepadunya
dan memelihara khazanah sejujurnya.
Mereka menyanjung kata-kata yang setiapnya
lahir dari lidah yang telah syahdu bersumpah.
Dan mereka mewarisi dada yang sentiasa
berazam dan berwaspada demi harum nafas negara.
Mimpi mereka hari ini akan sentiasa, mimpi
dada dan minda, untuk hidup bersama.
Dan mimpi itu nyata pohon kehidupan sasa
masa kini dan masa depan bangsa yang celik.
Dan membersih muka dan tangan dalam santun,
membaca riak tamsil alam dari semua arah
bersama lenggang segar pepohon yang subur,
dapat kita saring semua gema suaranya,
dan terlalu kuat kita mendengar suara mereka
bersemangat berulang menjeritkan "Merdeka!"
Kita rasa terbaru dan amat bertuah -
kita didampingi satu generasi yang gagah.

A. Samad Said
14-17 Mei 2002

Tuesday, June 26, 2012

Dari dinding FB Pak Samad:

Kini makin jelas
iktibar lelirik
"Enjet-Enjet Semut."
Patutlah yang sihat
ramai turun bawah.

Monday, June 25, 2012

Membakar Bahtera


Maaf, bangkitlah. Janganlah tidur, Dayang Fina!
Bangsaku sedang terhumban dalam kawah dosa.
Bubur liur muntah kata penguncup bahasa
kini berterusan tercurah ke tekak bangsa.
Kita dihulurkan panji bergelumang nanah,
digesa agar ghairah menjulang setingginya.
Di bawahnya, kita disihir menjadi angka
bertandak serancak mengejek Akta Bahasa.
Tangan kuasawan yang berlinang biliona
melupuskan ekuiti bangsa seenaknya—
menyuburkan taman budaya wangsa penjajah,
membakar bahtera khazanah Dato Hang Tuah.
Usah lena lagi—usah, usah—Dayang Fina!
Wira harta terus mengejek istana kata,
menyihir murbawan jadi sekedar boneka
untuk lanjut angkuh meludah Akta Bahasa.
Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan,
dalam senyap, menajisi benih kebenaran.
Hikayat hemah wajar bangat diulang baca
sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara.
Maaf, jangan lena, jangan lena, Dayang Fina!
Bangsa sedang gelupur dalam cekau kuasa.
Pendeta perlu cepat ganti gigi ke taring,
meraung senyilu nasib bahasa yang gering.
Maaf, kini tidur selenanya, Dayang Fina!
Cuma, jangan dilupai penakek bahasa.
30, 31 Ogos—3, Sept, 09. A. SAMAD SAID.

Saturday, June 9, 2012

Luka Riadah...

Tiga musim tampaknya kita membiarkan saja
lalang-lalang meliar dan tembok-tembok merekah;
genting-genting retak dan parit-parit turut pecah—
kita membiarkan khalayak sukan menderita!
Di tengah kemegahan negara yang sangat marak
kita seolah lebih bersedia diasuh menjadi perosak.

Tampaknya, kita lama biarkan mahligai sukan
beransur menjadi kawasan yang amat hantuan.
Kita seolah tidak pun terasa, apalagi malu,
malah kita seperti tak langsung rasa terganggu.
Kita sedia rela melihat mahligai sukan
terus cacat, rosak serta sakit tanpa rawatan.



Kita memang mampu, tapi, oleh lagak bermegah,
tampaknya kita lebih selesa menjadi pemusnah,
kerana dalam dendam dan hasad yang amat hangat,
kita lebih bangga jadi kuasawan bersiasat.
Kita tidak tulus lagi memerintah negeri,
mungkin amat lama kita dibakar api dengki.

Kita sengaja biarkan gedung riadah rekah,
malah terus mereput di tengah minyak yang mewah.
Kita terus menggerunkan warga penyu yang pilu
tidak rela bertelur, tidak pun damai di situ.
Kita memang mula kurang mampu lagi mencipta,
resahnya, kita tak ternampak segak memerintah.

Kita patut malu kepada penyu samudera,
juga wajar segan kepada ikan di kuala.
Kita telah lama melukakan perut buana
dengan keangkuhan peribadi kurang bermakna.
Kini, kita mula jadi bangsa saling berhasad,
teramat sedikit kita coba meluhur hajat.



Kita, dengan pilu, kini kenangi pondok sukan
yang terhindar, tersingkir dan terbiar penuh segan,
kerana, di tengah kekayaan minyak negara,
anehnya kita lebih pintar dan santai memusnah.
Kita tak membangun semula mahligai riadah,
sebab, sesama saudara kita masih telagah.

6—7, Jun, 2012 A. SAMAD SAID

Sunday, June 3, 2012

Penyair


Kepada setiap
penyair gundah
daun gugur pun
sentiasa indah.

A. Samad Said
Benih Harapan
1973