Monday, January 17, 2011

Reben Syahdu Merah Jambu


Reben syahdu merah jambu
azam padu yang sabar
bagi wanita yang tiba-tiba
luka tercabar.
Tangan, mata dan hatinya
berikhtiar mencari—
cuba mendakap kerlip
bahagia yang abadi.
Reben syahdu merah jambu
sayang tak bertara
sering ditanya apa
yang belum sempat digugah.
Terkadang langsir manja
melambai hajat yang ranum
terlupa ditafsir sebagai
pelamin yang harum.
Reben syahdu merah jambu
kasih di puncak rasa,
yang disunting rahsia
kuntum hayat di dalamnya.
Kehidupan menyimpan
taman seni tersembunyi
elok diselongkar
sesabar dan segigih diri.
Reben syahdu merah jambu
rindu hajat mulia
awal tangga akhir pintu
yang sakti iktibarnya.
Embun malam disusuli
kabus gunung yang wangi
kini ditemani tindak
berani yang kersani.
Reben syahdu merah jambu
hasrat qalbu yang ramah
membayang kesyahduan tasik
hidup yang dicita.
Memang hanya kita yang
wajar tekun melakar
bagi merai kehidupan
kasih yang sebenar.
23—26, 11, 06. A. SAMAD SAID

Monday, November 22, 2010

Anugerah


Apa dianugerahi
sebaik tercelik mata
sejak terserlah mentari
adalah satu hadiah,
ihsan daripada Tuhan,
kepada setiap insan.
Bermula nafas yang segar
dengan unggas yang tercergas,
azam dan cita-cita besar
dengan fikiran yang waras;
ia tetap anugerah
yang terlalu luar biasa.
Kepada insan yang ragu
belajarlah syukur selalu.
Rindu Ibu
2004

Wednesday, July 21, 2010

Kalung Permata Berlilit Falsafah


AWANG Bakhil sangat menyerlah dalam drama muzikal karya Usman Awang. Pak Utih juga megah. Misha Omar sebagai Dara dan Razali Hussain sebagai Uda—masing-masing—menghurai kisah penuh pilu, penuh malu, tapi syahdu. Sebab, kisah mereka tampaknya sama benar di zaman kuno dan di zaman kini. Apalah ertinya emas sesaga.
Disedari atau tidak, yang menggeletar—pada setiap malam pementasan—tentu sajalah pemegang dana pementasan—Haslina Usman—anak seniman yang cekal dan bangga dapat melestarikan khazanah seni ayahnya.
Pada malam kedua terakhir pementasan (malam saya menontonnya) hampir serentak ketika menghayati persembahan itu, saya kerap terkenangkan Usman Awang—terlihat dirinya khusyuk di meja cipta, kemudian dirinya resah di khemah mogok.
Drama “Uda dan Dara” adalah bauran ketenangan dan keresahan itu.
Memanglah benar yang ingin dipamerkan dunia real Usman Awang—inti pengalaman seorang seniman; visi luhur seorang pejuang. Maka di Istana Budaya pada malam itu terimbaslah dunia kuno yang meresah di tengah dunia kini yang mendera.
Usman memberitahu: Wang boleh membeli segala—tentulah termasuk kuasa. Dia mengingatkan cinta luhur hanya idaman. Mata bening seorang Dara, tumit tegap seorang Uda memang sempat menjadikan drama muzikal itu sebuah kisah penuh pesanan: Beradab hidup zaman purba, berhajat adil sesama manusia terkadang mudah dicemari tangan pengkuasa. Di atas pentas moden dunia purba itu terkerdip iktibar bahawa yang dikejar masih mudah disambar orang; yang tercicir tak pula mesti sempat dikutip sendiri.
Nyatalah pepatah petitih, syair dan pantun, selesa bersanding membenihkan kalimat yang sangat memujuk di atas pentas yang indah, gagah, juga—anehnya—resah. Masyarakat Pak Utih (orang tua yang sangat falsafi) terbayang hadir di tengah khalayak peniaga yang jarang sedacing; di tengah penghujah yang tidak sedia sekata. Masyarakat ini bakal berlinang air mata, ramal Pak Utih. Begitulah tampaknya tertulis kitab seni seorang seniman, kalung permata berlilit falsafah—Uda dan Dara.

Thursday, July 15, 2010

Bumi Rezeki


Tak betul billiona tergogok—
bantah kuasawan nan belolok.
Sebab, jika itulah yang benar,
mengapa dana tampaknya segar?
Sangat keruh hujah sang kuasa;
terlalu arif berpantun lidah.
Maka, yang luhur diheboh kotor;
yang bening pula ditakbur tohor.
Bumi Cik Siti nafas rezeki
minyak mengalir tanpa royalti.
Cucu Tok Janggut saja ditekan;
sesekali diberilah wang ihsan.
Iktisad bangsa sedang terluka;
pintar dihias cantik gerafnya.
Sebenar, titis peluh rahsia:
Minyak Kelantan penyeri dana.
9—16, Julai, 2010.  A. SAMAD SAID

Tuesday, June 8, 2010

PESAN LUHUR—(1)


Hari sangatlah syahdu pesan luhur kini damai bermula.
Nabi isytihar khabar bahaya, murba wajar bersedia.
Setiap lelaki ranum dikerah agar tabah waspada,
sebab, musuh Islam berlagak—seteru wajib disanggah.
Ke mana arahnya tak dihurai—dulu, memang rahsia;
kini tak begitu ia—matlamat peta jelas didedah.
Bakal payah kembara nanti; musuh pasukan yang mendera.
Ketahuilah ini dulu, bersedia hadap angkara.
Kaab bin Malik sedang santai di kota indah Medina;
cuaca harum dan damai, musim buahan puncak suburnya.
Tapi, perintah qudus Nabi tetap mengatasi segala.
Khidmat lain dihenti, sokongan sepadu ke Rasulullah.
Bergerak tak terasa enak, musim genting kini menyala;
bertindak menggugah tentera Roma—musuh paling durjana.
Islam sangat suci, ayat-ayat wangi mengharumi Ummah;
nyawa sedia direla—perjuangan qurbani para syuhadah.
Di merata wira bersedia—sangat berani dan garang.
Kaab ampunya dua unta bersedia ke medan perang.
Tak gentar dirinya; sedang sesantainya ia berkelana.
mesra muhibbah, di celah pohonan, hasrat qalbu terindah.
Rombongan Nabi yang bersedia belum berangkat rupanya,
maka Kaab bersantai dulu dalam iklim belum membara.
Maklumlah, ke medan tempor amat biasa baginya
sejak malam Janji Aqabah—cuma ke Badar tergendala.

Tuesday, June 1, 2010

Gambaran Bangsa Yang Calar-balar


ADA petanda bahawa sebagai bangsa kita mulai menggelonsor. Bayangkan hampir selama enam dekad merdeka, kita masih terus menjerit sakit. Terakhir, kita mula tidak lagi mengenal sempadan haram halal—bukan soal perjudian saja. Sebelum itu pun, siasahwan kita pernah—malah masih—merongrong Akta Bahasa. Lebih awal lagi, kita berjaya menazakkan tulisan Jawi. Dan, dengan kelulusan lesen judi kini nyatalah kita sedia apa saja, termasuk mencemari ajaran agama.(Tunggu natijah rasminya 26 Jun ini!).
Pendeknya, kita tidak saja tergamak memborosi dana negara (dengan hadiah-hadiahan mewah demi kempen pilihanraya), malah kita seolah menggalakkan manusia dan barangan agar cepat bertanda harga—agar semua mudah dibeli, termasuk para MP.
Kita pernah mencungapkan nafas sekolah agama rakyat dengan dakwaan kononnya di situlah mercupnya tunas pengganas. Malah lebih berdarah—dan sangaat bersejarah—sebelum itu, kuasawan bangsa sendiri juga pernah memacetkan pendakwah Islaminya dengan ratusan peluru selepas mewajahkan mereka sebagai penganut ajaran sesat. (“Masihkah Kau Ingat” peristiwa Memali?)
Dalam aliran peristiwa kacau-bilau itu, seolah tanpa sedar, kita turut galak melahirkan penggayut kuasa dan pengejar harta yang sebahagiannya memang tuli rasa. Malah kita seolah mendorong mereka agar cepat hanyut dan lekas lemas dalam kalutan murni-cemar dan halal-haram masalah asas.
Oleh kocakan peristiwa yang penuh gamam ini, sesetengah kuasawan tetiba menjadi terlalu berkuasa, terkadang ke tahap menyegankan perlembagaan negara. Siapa yang menakik keluhuran kuasa raja, dan siapa pula yang seolah mengongoi kerana rajanya kini kurang dihormati? Bukankah kuasawan yang sama?
Pada aras lain, agihan kekayaan yang sangat bergelombang kini payah diwarasi. Mula terserlah kini yang mendadak kaya adalah di kalangan kuasawan sendiri.
Malah dengan perubahan mendadak sesuatu takrif, khazanah sejarah pun tampaknya hampir terjual—“Masihkah Kau Ingat” nasib bangunan Universiti Malaya? Gambaran calar-balar ini kini tampaknya sangat terkesan pada UMNO (diakui sendiri oleh mantan kuasawan adinya). Kerana parti itu diyakini tidak dapat membela bangsanya, maka sangatlah diperlukan Perkasa dan Gertak, hujahnya. Jadi, UMNO?

Sunday, May 23, 2010

Berjaga-jaga Dulu Sebelum Berubat


KITA guguri dulu bebunga kata dan senyapi melodi indah untuk jujur menikmati fakta nan sakti. Kita belajarlah menjadi pentadbir tulus yang sentiasa cermat dan jimat, bukan berlagak sebagai halobawan yang terlalu percaya dana negara miliknya saja.
Dengan latar seluhur dan sebenderang itu, kita kembali sejenak ke dunia siasahwan yang tampaknya masih megah mendabik dada. Kita santuni diri untuk melihat ragam dunia kekuasaannya melalui tafsiran kuasawan lain. Kuasa apa pun di dunia ini ada tarikh lupusnya.
Sejauh ini kita jarang mendengar khabar untuk mempersubur semula ekuiti orang Melayu yang telah menggelonsor daripada RM50 bilion kepada hanya RM2 bilion. Tampaknya seolah itulah "kecapaian" kita selama lima dekad merdeka! Tidak juga terdengar bisikan apakah ekuiti yang mengecil itu sedang mengecil lagi, atau dalam diam dan sepi, ekuiti itu sedang mengelembung dan melambung? Yang sempat kita dengar dengan amat jelas, malah nyaring, ialah dua buah syarikat gergasi pendukung ekonomi Melayu sedang kerugian--berbilion jumlahnya. Bererti bahawa orang Melayu masih mencungap sakit di katil hospital iktisadnya.
Tampaknya, ada cara cepat untuk menambah dana negara. Contoh termudah ialah mendapatkannya melalui pungutan cukai--ya, seperti lazimnya--dan antara upaya terbarunya melalui "halalan" hasil judi haram tikam bola. Tapi, maaflah, apakah itu yang menjadi dana belanja negara, atau ia tetap juga bagi tambahan ekuiti orang Melayu? Dan soal murninya apakah atau bolehkah sedikit sebanyak keuntungan "haram" itu disedut bagi manfaat dharma Islami? Itupun, kalaulah tulen sungguh pegangan Islami kita.
Kerana itu, mungkin waras juga jika kita tekun mengesani bagaimana negara (kebetulan kebanyakannya negara bukan Islami) membabat penyakit iktisad mereka. Berpalinglah sebentar ke England dan Greece--berpaling sebentar saja! Di England kini terdapat dua buah parti berlainan landasan sikapnya tiba-tiba bersedia untuk mengatasi krisis ekonomi bangsanya dengan menyetujui membabat kegusaran defisit $235 bilion dengan serentak dan mendadak mengurangkan belanja tahunan negaranya sebanyak seputar 67 bilion (pound sterling) bagi perbelanjaan 2010-2011. Mereka cepat bertindak.
Sementara Greece pula tampaknya bersedia bertindak mengikat perut rakyatnya secara berlebihan (sehingga terpercik rusuhan) untuk mewarasi pengimbangan hutang penuhnya sebanyak $193 bilion melalui hutang darurat yang diberikan kelompok keluarga EU dan IMF sebanyak $145 bilion.
Alhamddulillah, kita belum terlantar di hospital iktisad lagi. Masih mewah luarannya, tapi tidaklah kita ketahui sangat dalamannya. Betapapun, waras dan wajiblah kita berhubaya-hubaya. Petanda penyakit iktisad itu sebenarnya mula menjengah khusus kepada tabib-tabib iktisad yang malim. Sebelum kuman iktisad negara kita merebak, eloklah kita berjaga-jaga dulu sebelum terpaksa berubat?