Monday, June 30, 2014

Friday, February 14, 2014

Sungai Mengalir Lesu

Novel Sungai Mengalir Lesu - edisi terhad - ini akhirnya akan siap cetak 3hb Mac 2014.
Berhalaman 160 mukasurat / Kulit keras dan ditandatangani Pak Samad.
Hanya dicetak 1000 naskhah dan kini tinggal sekitar 400 naskhah setelah dipesan awal oleh pelanggan. Anda boleh dapatkannya dengan e-mel: bawahpohonrendang@gmail.com
- Stok Terhad -

Thursday, March 7, 2013

Di Atas Padang Sejarah


Di Atas Padang Sejarah
Tempahan/pesanan dibuka kini!

Judul: Di Atas Padang Sejarah - Edisi Istimewa (Terhad)
Bilangan Puisi: 56 dan 1 proses penciptaan puisi
Mukasurat: 96
Lain-lain: Kulit keras, kertas istimewa (120gm), ditandatangani Pak Samad dan bernombor siri.
Harga: RM45 Semenanjung RM50 Sabah/Sarawak - Harga termasuk poslaju
Mula hantar: Minggu ketiga March 2013
E-mel: wirabukitonline@gmail.com

 untuk urusan tempahan.

Tuesday, January 1, 2013

LANGKAH LESTARI



Sejak subuh ini resah mendera qalbuku
mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara,
mewarasi setiap suara derita atau rianya.
Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu
kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi
taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni,
setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?
Di sini—dedaun bersyair kepada leluhurnya,
bunga rimba cuba menari depan keluarganya.
Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir,
kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.
Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu,
menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.
Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba
memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.
Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.
(A. Samad Said)

Monday, December 31, 2012

Salina

Salina
Edisi Terhad
Edisi Khas - Cetak 500 naskhah sahaja.
Menerima tempahan kini.
RM70 Semenanjung / RM75 Sabah/Sarawak - harga termasuk poslaju..
Kulit Keras/ Ditandatangani Pak Samad/ Bernombor siri.
E-mel: helmysamad@gmail.com untuk dapatkannya!
- SUDAH HABIS -

Wednesday, November 14, 2012

Pemburu Bangsa

PEMBURU BANGSA

Mereka hanyalah dinding gerak iklan keretapi
yang tak jenuh-jenuh mengakui: “Janji Ditepati”.
Mereka juga tembok dan tiang iklan yang terbingar
berulang kali bangga menjeritkan: “Kami Mendengar”.

Pada detik sama mereka tambah hutang bangsanya;
mereka jaja tanah dan benih tani negaranya
dan terusan pula menghirup harta rakyat terpapa.
sambil galak bertanding gendut sesama kroninya.

Merekalah pemimpin bangsa yang selesa berdusta,
masih senyap menunda bayaran mangsa buruh paksa.
Tapi, terusan dihebohkan untung global sahamnya
yang dihutangi dari dana masa depan bangsanya.

Disedutnya terus baki khazanah rakyat terdera,
dikumpulkannya sebanyak villa di luar negara,
dihimpunkan harta rahsianya di bank-bank Eropah,
tapi, tak jua diberi royalti minyak saudaranya.

Bercakaplah apapun tentang derajat dan maruah,
dosa khazanahnya tak sedia dimurnikan juga.
Selagi terus digemukkan hutang lara bangsanya
tak akan bakal luruh kerak-kerak dosa batinnya.

Beroyaklah mereka tentang tekad 1Malaysia
tapi, dinyalakannya juga unggun perkaumannya.
Selagi dusta, lara serta helah ini terus disembah,
kita tidak akan lupa. Kita terus memburunya.

Monday, October 8, 2012

DI ATAS PADANG SEJARAH

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita—tenaga jati—gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.

2—3, Oktober, 2012. A. SAMAD SAID.