Thursday, June 28, 2012

Generasi Yang Gagah


                     1

Anak-anak ini, dalam segar tumbuhnya
dengan tangan baka sedia meredah rimba.
Setiap akar pohon sedang menyapa mereka
dan dibalas dengan senyum amat mesra.
Dinampaknya air sungai dan sekawan ikan -
percik dan kelip warna dari isi alam
subur yang begitu sekali menjanjikan.
Disukatnya puncak gunung yang rahsia,
disaksi kaya khazanahnya yang tersimpan,
Anak-anak ini senyum ranum abad baru,
mata cergas enggan diganggu angin sedu
kerana mereka adalah pencari yang berazam,
juga penemu dan pemelihara yang setia,
bangga mengibarkan bendera bangsanya.

Anak-anak ini pengejar utama cita-cita,
pendendang lagu bangsa tumbuh dari kalbu.
Mereka, bakalnenek moyang kemerlap permata,
mengiringi rindu, sayang dan setianya
dalam dakapan erat yang tak terpisahkan.
Mereka santuni tanjak dan keris penuh maruah,
menghantar pantun sebagai bahtera utama.
Mereka memang sedar segala telah bermula,
mengasihi baka, mengisytihar hidup bersama
dan berazam cekal untuk ke depan sentiasa.


                        2

Dan hati, mata mereka tetap padat melihat:
Dengan sanubari jujur yang amat menyukat.
Dan bersama adil rasa dan inti ilmu
mereka adalah generasi bangun tanpa jemu,
kerana telah dicabut setiap rumpai sesia
dan sedang dipupuk resam, tekad dan janji
supaya dirinya sentiasa elok dan berbudi,
sentiasa menyedari perjuangan bererti.

Sekarang ini berdirinya bersandarkan kata
yang tidak dilukakan dan dengan janji
yang tidak dipalsukan. Bahasanya padat
beradab, indah yang amat menjunjung,
menjadi busana dan gemerlap permata, batinnya.
Segala nafas dan tenaga, dari tapak awal
ke akhirnya adalah gerak tangkas panglima,
kerana mereka anak-anak pembangun murba,
pengisi dan penyubur patuh tanah airnya,
tidak akan membiarkan benderanya tercarik,
tidak juga kedaulatan bangsanya diusik.
Mereka memang anak-anak waja bernafas baru,
tidak rela kalah dan tentunya tidak ingin malu.
Mereka adalah tenaga kersani tanah air
sentiasa bertindak ikhlas mewarnai langit abadnya.


                        3

Mereka juga pengumpul ilmu sepadunya
dan memelihara khazanah sejujurnya.
Mereka menyanjung kata-kata yang setiapnya
lahir dari lidah yang telah syahdu bersumpah.
Dan mereka mewarisi dada yang sentiasa
berazam dan berwaspada demi harum nafas negara.
Mimpi mereka hari ini akan sentiasa, mimpi
dada dan minda, untuk hidup bersama.
Dan mimpi itu nyata pohon kehidupan sasa
masa kini dan masa depan bangsa yang celik.
Dan membersih muka dan tangan dalam santun,
membaca riak tamsil alam dari semua arah
bersama lenggang segar pepohon yang subur,
dapat kita saring semua gema suaranya,
dan terlalu kuat kita mendengar suara mereka
bersemangat berulang menjeritkan "Merdeka!"
Kita rasa terbaru dan amat bertuah -
kita didampingi satu generasi yang gagah.

A. Samad Said
14-17 Mei 2002

No comments:

Post a Comment