Sunday, May 23, 2010

Berjaga-jaga Dulu Sebelum Berubat


KITA guguri dulu bebunga kata dan senyapi melodi indah untuk jujur menikmati fakta nan sakti. Kita belajarlah menjadi pentadbir tulus yang sentiasa cermat dan jimat, bukan berlagak sebagai halobawan yang terlalu percaya dana negara miliknya saja.
Dengan latar seluhur dan sebenderang itu, kita kembali sejenak ke dunia siasahwan yang tampaknya masih megah mendabik dada. Kita santuni diri untuk melihat ragam dunia kekuasaannya melalui tafsiran kuasawan lain. Kuasa apa pun di dunia ini ada tarikh lupusnya.
Sejauh ini kita jarang mendengar khabar untuk mempersubur semula ekuiti orang Melayu yang telah menggelonsor daripada RM50 bilion kepada hanya RM2 bilion. Tampaknya seolah itulah "kecapaian" kita selama lima dekad merdeka! Tidak juga terdengar bisikan apakah ekuiti yang mengecil itu sedang mengecil lagi, atau dalam diam dan sepi, ekuiti itu sedang mengelembung dan melambung? Yang sempat kita dengar dengan amat jelas, malah nyaring, ialah dua buah syarikat gergasi pendukung ekonomi Melayu sedang kerugian--berbilion jumlahnya. Bererti bahawa orang Melayu masih mencungap sakit di katil hospital iktisadnya.
Tampaknya, ada cara cepat untuk menambah dana negara. Contoh termudah ialah mendapatkannya melalui pungutan cukai--ya, seperti lazimnya--dan antara upaya terbarunya melalui "halalan" hasil judi haram tikam bola. Tapi, maaflah, apakah itu yang menjadi dana belanja negara, atau ia tetap juga bagi tambahan ekuiti orang Melayu? Dan soal murninya apakah atau bolehkah sedikit sebanyak keuntungan "haram" itu disedut bagi manfaat dharma Islami? Itupun, kalaulah tulen sungguh pegangan Islami kita.
Kerana itu, mungkin waras juga jika kita tekun mengesani bagaimana negara (kebetulan kebanyakannya negara bukan Islami) membabat penyakit iktisad mereka. Berpalinglah sebentar ke England dan Greece--berpaling sebentar saja! Di England kini terdapat dua buah parti berlainan landasan sikapnya tiba-tiba bersedia untuk mengatasi krisis ekonomi bangsanya dengan menyetujui membabat kegusaran defisit $235 bilion dengan serentak dan mendadak mengurangkan belanja tahunan negaranya sebanyak seputar 67 bilion (pound sterling) bagi perbelanjaan 2010-2011. Mereka cepat bertindak.
Sementara Greece pula tampaknya bersedia bertindak mengikat perut rakyatnya secara berlebihan (sehingga terpercik rusuhan) untuk mewarasi pengimbangan hutang penuhnya sebanyak $193 bilion melalui hutang darurat yang diberikan kelompok keluarga EU dan IMF sebanyak $145 bilion.
Alhamddulillah, kita belum terlantar di hospital iktisad lagi. Masih mewah luarannya, tapi tidaklah kita ketahui sangat dalamannya. Betapapun, waras dan wajiblah kita berhubaya-hubaya. Petanda penyakit iktisad itu sebenarnya mula menjengah khusus kepada tabib-tabib iktisad yang malim. Sebelum kuman iktisad negara kita merebak, eloklah kita berjaga-jaga dulu sebelum terpaksa berubat?

No comments:

Post a Comment