Monday, November 22, 2010

Anugerah


Apa dianugerahi
sebaik tercelik mata
sejak terserlah mentari
adalah satu hadiah,
ihsan daripada Tuhan,
kepada setiap insan.
Bermula nafas yang segar
dengan unggas yang tercergas,
azam dan cita-cita besar
dengan fikiran yang waras;
ia tetap anugerah
yang terlalu luar biasa.
Kepada insan yang ragu
belajarlah syukur selalu.
Rindu Ibu
2004

Wednesday, July 21, 2010

Kalung Permata Berlilit Falsafah


AWANG Bakhil sangat menyerlah dalam drama muzikal karya Usman Awang. Pak Utih juga megah. Misha Omar sebagai Dara dan Razali Hussain sebagai Uda—masing-masing—menghurai kisah penuh pilu, penuh malu, tapi syahdu. Sebab, kisah mereka tampaknya sama benar di zaman kuno dan di zaman kini. Apalah ertinya emas sesaga.
Disedari atau tidak, yang menggeletar—pada setiap malam pementasan—tentu sajalah pemegang dana pementasan—Haslina Usman—anak seniman yang cekal dan bangga dapat melestarikan khazanah seni ayahnya.
Pada malam kedua terakhir pementasan (malam saya menontonnya) hampir serentak ketika menghayati persembahan itu, saya kerap terkenangkan Usman Awang—terlihat dirinya khusyuk di meja cipta, kemudian dirinya resah di khemah mogok.
Drama “Uda dan Dara” adalah bauran ketenangan dan keresahan itu.
Memanglah benar yang ingin dipamerkan dunia real Usman Awang—inti pengalaman seorang seniman; visi luhur seorang pejuang. Maka di Istana Budaya pada malam itu terimbaslah dunia kuno yang meresah di tengah dunia kini yang mendera.
Usman memberitahu: Wang boleh membeli segala—tentulah termasuk kuasa. Dia mengingatkan cinta luhur hanya idaman. Mata bening seorang Dara, tumit tegap seorang Uda memang sempat menjadikan drama muzikal itu sebuah kisah penuh pesanan: Beradab hidup zaman purba, berhajat adil sesama manusia terkadang mudah dicemari tangan pengkuasa. Di atas pentas moden dunia purba itu terkerdip iktibar bahawa yang dikejar masih mudah disambar orang; yang tercicir tak pula mesti sempat dikutip sendiri.
Nyatalah pepatah petitih, syair dan pantun, selesa bersanding membenihkan kalimat yang sangat memujuk di atas pentas yang indah, gagah, juga—anehnya—resah. Masyarakat Pak Utih (orang tua yang sangat falsafi) terbayang hadir di tengah khalayak peniaga yang jarang sedacing; di tengah penghujah yang tidak sedia sekata. Masyarakat ini bakal berlinang air mata, ramal Pak Utih. Begitulah tampaknya tertulis kitab seni seorang seniman, kalung permata berlilit falsafah—Uda dan Dara.

Thursday, July 15, 2010

Bumi Rezeki


Tak betul billiona tergogok—
bantah kuasawan nan belolok.
Sebab, jika itulah yang benar,
mengapa dana tampaknya segar?
Sangat keruh hujah sang kuasa;
terlalu arif berpantun lidah.
Maka, yang luhur diheboh kotor;
yang bening pula ditakbur tohor.
Bumi Cik Siti nafas rezeki
minyak mengalir tanpa royalti.
Cucu Tok Janggut saja ditekan;
sesekali diberilah wang ihsan.
Iktisad bangsa sedang terluka;
pintar dihias cantik gerafnya.
Sebenar, titis peluh rahsia:
Minyak Kelantan penyeri dana.
9—16, Julai, 2010.  A. SAMAD SAID

Tuesday, June 8, 2010

PESAN LUHUR—(1)


Hari sangatlah syahdu pesan luhur kini damai bermula.
Nabi isytihar khabar bahaya, murba wajar bersedia.
Setiap lelaki ranum dikerah agar tabah waspada,
sebab, musuh Islam berlagak—seteru wajib disanggah.
Ke mana arahnya tak dihurai—dulu, memang rahsia;
kini tak begitu ia—matlamat peta jelas didedah.
Bakal payah kembara nanti; musuh pasukan yang mendera.
Ketahuilah ini dulu, bersedia hadap angkara.
Kaab bin Malik sedang santai di kota indah Medina;
cuaca harum dan damai, musim buahan puncak suburnya.
Tapi, perintah qudus Nabi tetap mengatasi segala.
Khidmat lain dihenti, sokongan sepadu ke Rasulullah.
Bergerak tak terasa enak, musim genting kini menyala;
bertindak menggugah tentera Roma—musuh paling durjana.
Islam sangat suci, ayat-ayat wangi mengharumi Ummah;
nyawa sedia direla—perjuangan qurbani para syuhadah.
Di merata wira bersedia—sangat berani dan garang.
Kaab ampunya dua unta bersedia ke medan perang.
Tak gentar dirinya; sedang sesantainya ia berkelana.
mesra muhibbah, di celah pohonan, hasrat qalbu terindah.
Rombongan Nabi yang bersedia belum berangkat rupanya,
maka Kaab bersantai dulu dalam iklim belum membara.
Maklumlah, ke medan tempor amat biasa baginya
sejak malam Janji Aqabah—cuma ke Badar tergendala.

Tuesday, June 1, 2010

Gambaran Bangsa Yang Calar-balar


ADA petanda bahawa sebagai bangsa kita mulai menggelonsor. Bayangkan hampir selama enam dekad merdeka, kita masih terus menjerit sakit. Terakhir, kita mula tidak lagi mengenal sempadan haram halal—bukan soal perjudian saja. Sebelum itu pun, siasahwan kita pernah—malah masih—merongrong Akta Bahasa. Lebih awal lagi, kita berjaya menazakkan tulisan Jawi. Dan, dengan kelulusan lesen judi kini nyatalah kita sedia apa saja, termasuk mencemari ajaran agama.(Tunggu natijah rasminya 26 Jun ini!).
Pendeknya, kita tidak saja tergamak memborosi dana negara (dengan hadiah-hadiahan mewah demi kempen pilihanraya), malah kita seolah menggalakkan manusia dan barangan agar cepat bertanda harga—agar semua mudah dibeli, termasuk para MP.
Kita pernah mencungapkan nafas sekolah agama rakyat dengan dakwaan kononnya di situlah mercupnya tunas pengganas. Malah lebih berdarah—dan sangaat bersejarah—sebelum itu, kuasawan bangsa sendiri juga pernah memacetkan pendakwah Islaminya dengan ratusan peluru selepas mewajahkan mereka sebagai penganut ajaran sesat. (“Masihkah Kau Ingat” peristiwa Memali?)
Dalam aliran peristiwa kacau-bilau itu, seolah tanpa sedar, kita turut galak melahirkan penggayut kuasa dan pengejar harta yang sebahagiannya memang tuli rasa. Malah kita seolah mendorong mereka agar cepat hanyut dan lekas lemas dalam kalutan murni-cemar dan halal-haram masalah asas.
Oleh kocakan peristiwa yang penuh gamam ini, sesetengah kuasawan tetiba menjadi terlalu berkuasa, terkadang ke tahap menyegankan perlembagaan negara. Siapa yang menakik keluhuran kuasa raja, dan siapa pula yang seolah mengongoi kerana rajanya kini kurang dihormati? Bukankah kuasawan yang sama?
Pada aras lain, agihan kekayaan yang sangat bergelombang kini payah diwarasi. Mula terserlah kini yang mendadak kaya adalah di kalangan kuasawan sendiri.
Malah dengan perubahan mendadak sesuatu takrif, khazanah sejarah pun tampaknya hampir terjual—“Masihkah Kau Ingat” nasib bangunan Universiti Malaya? Gambaran calar-balar ini kini tampaknya sangat terkesan pada UMNO (diakui sendiri oleh mantan kuasawan adinya). Kerana parti itu diyakini tidak dapat membela bangsanya, maka sangatlah diperlukan Perkasa dan Gertak, hujahnya. Jadi, UMNO?

Sunday, May 23, 2010

Berjaga-jaga Dulu Sebelum Berubat


KITA guguri dulu bebunga kata dan senyapi melodi indah untuk jujur menikmati fakta nan sakti. Kita belajarlah menjadi pentadbir tulus yang sentiasa cermat dan jimat, bukan berlagak sebagai halobawan yang terlalu percaya dana negara miliknya saja.
Dengan latar seluhur dan sebenderang itu, kita kembali sejenak ke dunia siasahwan yang tampaknya masih megah mendabik dada. Kita santuni diri untuk melihat ragam dunia kekuasaannya melalui tafsiran kuasawan lain. Kuasa apa pun di dunia ini ada tarikh lupusnya.
Sejauh ini kita jarang mendengar khabar untuk mempersubur semula ekuiti orang Melayu yang telah menggelonsor daripada RM50 bilion kepada hanya RM2 bilion. Tampaknya seolah itulah "kecapaian" kita selama lima dekad merdeka! Tidak juga terdengar bisikan apakah ekuiti yang mengecil itu sedang mengecil lagi, atau dalam diam dan sepi, ekuiti itu sedang mengelembung dan melambung? Yang sempat kita dengar dengan amat jelas, malah nyaring, ialah dua buah syarikat gergasi pendukung ekonomi Melayu sedang kerugian--berbilion jumlahnya. Bererti bahawa orang Melayu masih mencungap sakit di katil hospital iktisadnya.
Tampaknya, ada cara cepat untuk menambah dana negara. Contoh termudah ialah mendapatkannya melalui pungutan cukai--ya, seperti lazimnya--dan antara upaya terbarunya melalui "halalan" hasil judi haram tikam bola. Tapi, maaflah, apakah itu yang menjadi dana belanja negara, atau ia tetap juga bagi tambahan ekuiti orang Melayu? Dan soal murninya apakah atau bolehkah sedikit sebanyak keuntungan "haram" itu disedut bagi manfaat dharma Islami? Itupun, kalaulah tulen sungguh pegangan Islami kita.
Kerana itu, mungkin waras juga jika kita tekun mengesani bagaimana negara (kebetulan kebanyakannya negara bukan Islami) membabat penyakit iktisad mereka. Berpalinglah sebentar ke England dan Greece--berpaling sebentar saja! Di England kini terdapat dua buah parti berlainan landasan sikapnya tiba-tiba bersedia untuk mengatasi krisis ekonomi bangsanya dengan menyetujui membabat kegusaran defisit $235 bilion dengan serentak dan mendadak mengurangkan belanja tahunan negaranya sebanyak seputar 67 bilion (pound sterling) bagi perbelanjaan 2010-2011. Mereka cepat bertindak.
Sementara Greece pula tampaknya bersedia bertindak mengikat perut rakyatnya secara berlebihan (sehingga terpercik rusuhan) untuk mewarasi pengimbangan hutang penuhnya sebanyak $193 bilion melalui hutang darurat yang diberikan kelompok keluarga EU dan IMF sebanyak $145 bilion.
Alhamddulillah, kita belum terlantar di hospital iktisad lagi. Masih mewah luarannya, tapi tidaklah kita ketahui sangat dalamannya. Betapapun, waras dan wajiblah kita berhubaya-hubaya. Petanda penyakit iktisad itu sebenarnya mula menjengah khusus kepada tabib-tabib iktisad yang malim. Sebelum kuman iktisad negara kita merebak, eloklah kita berjaga-jaga dulu sebelum terpaksa berubat?

Monday, May 17, 2010

Lahirlah Zuriat Kuasawan Baru


MITOS cenderung menetaskan mitos. Lazimnya begitu. Berlaku pada zaman dulu; berlaku pada zaman ini. Paling jelas berlaku dalam dunia siasah. Dalam dunia siasah—kuasa dan harta cepat bercinta, ghairah mengandung, montel melahirkan. Memang, seelok ranum ketikanya, maka lahirlah zuriat kuasawan baru. Di India, Rahul; di Filipina, Noynoy; di Malaysia? Congaklah sendiri.
Begitulah nikmatnya jika kita saja-saja rajin menerik iktibar daripada filem luar. Kisahnya—pertarungan budaya (Ip Man) dan siasah (Sura). Donnie Yen pertahankan seni kung-fu; Vijay pertahankan hak murbawan.
Rupa-rupanya, melalui layar filem luar kita masih boleh mengunyah hemah.
Cuma, contoh sepontan yang dipaparkan ini agak lain sedikit. Seorang murbawan teliti menghayati dua buah filem iktibar, membeli buku agama dan angka, meminum teh di kafe MidValley sebelum nyenyak tidur selepas menghadami hadis Taubah. Contoh pada hari yang sama, seorang siasahwan deras berkejar ke tiga empat kawasan pilihanraya dengan kereta kilatnya (hak kerajaan tentunya), berkempen dengan hembusan pelbagai janji syurgawi, malah, di mana wajar, serentak saja menaburi “royalti” yang bukan dari peluhnya sendiri.
Soalnya, siapakah di antara mereka ini yang lebih padat nikmatnya dalam sehari itu? Murbawan tulus atau siasahwan fulus?
Dan aneh pada minggu yang sama, Greece terketar memaut lutut pemimpin Jerman mengharap bantuan dana Zon Eropah dan IMF yang sebenarnya berdolak-dalik dijanji hingga terpercik rusuhan ngeri. Malapetaka kewangan itu sebenarnya berakar dari pemborosan pemimpin juga—dana dalam, kempis; hutang luar, kembang!
Kata seorang sufi setaraf Jalaluddin Rumi: Hidup syahdu sehari sudah mencukupi daripada hidup kaudu bertahun.
Tentulah hidup kaudu itu berlaku kerana wujudnya kecurangan di mana-mana. Malangnya, kita tidak ada cermin luhur untuk dibanding.
Dalam negeri sendiri memang tidak disediakan cermin sejati. Semua media utama memaparkan kepalsuan sebelah. Makanya, kita wajar menghidu sendiri iktibar dunia angka yang mengusik: $60 bilion; 163 bilion (pound); RM1.63 bilion di sisi dunia nama yang mengasyik: Greece; George Osborne; Sime Darby.

Wednesday, May 12, 2010

Belajar Mengenal Tabii Eyjatjallajokull


IKLIM siasah di tanah air tampaknya hampir sepayah mengeja nama Gunung Eyjatjallajokull di Iceland. Gumpalan asap debu gunung berapi itu masih mengacau laluan udara. Sementara di permukaan bumi, pembuakan minyak mentah sedang mencemari Teluk Mexico. Bisik atau jerit alam, tampaknya, mempunyai bahasanya sendiri yang kurang kita fahami susunan abjadnya.
Di balik latar resah alam dan insan itulah, suka atau benci, kita terpaksa tekun belajar. Kita sedar bahawa alam mempunyai tabiinya sendiri—indah dan hodoh. Dan manusia—lebih-lebih lagi kuasawannya—mempunyai tabii aneh yang setara—indah dan hodoh juga.
Begitulah seminggu ini, kita sempat belajar membaca perangai alam dan tabii manusia. Pada waktu-waktu tertentu memanglah sukar kita bedakan antara yang manusia dan yang Eyjatjallajokull. Tapi, masih ada yang boleh dipetik sejernihnya daripada sekeruhnya. Gelora tenang kesan pilihanraya di negara J.K. Rowling, contohnya. David Cameron (Conservative), Gordon Brown (Labour) dan Nick Clegg (Liberal Democrats) sudah pun bercongak mewaraskan hirarki dan manfaat kuasa. Rundingan pergi balik yang berlansung meresahkan murbawan Great Britain akhirnya jinak apabila terbayang Cameron menggantikan Brown. Kita sempat petik iktibarnya.
Tapi, yang sangat awal boleh bantu meranum kita ialah renungan kita terhadap cara siasahwan Britain membabat geram dan cinta politiknya. Ternyata, mereka berlari atas padang munasabah. Contohnya, di negara Stephen Hawkins itu tidak terhembur kempen cemuhan atau tohmahan yang mula kita budayakan. Para kuasawan Britain tidak menjerit atau menghadirkan projek pembangunan mendadak di kawasan kempennya. Malah mereka tidak menggila dan spontan mencurahkan dana dulang emas kepada keluarga tua, sekolah uzur, kompleks retak dan peladang tersisih, yang sebelum pilihanraya terlupa—atau memang dilupakan—ditangani.
Hanya pada masa pilihanraya kecil mendadak kesemua kemacetan itu tiba-tiba ingin disembuhkan secepat silap mata sehingga payah bagi kita mengadili apakah yang dibelanjakan dalam kempen pilihanraya itu wang parti calon yang bertanding atau dana kerajaannya—wang rakyat. Belanja yang salah adalah rasuahan.
Terlalu banyak kekalutan Eyjatjallajokull dalam kerenah kita mengendalikan pilihanraya. Kita sebenarnya lupa menjinakkan jentera itu sebagai kuda sopan atau kita memang sengaja ingin menungganginya saja.

Tuesday, May 4, 2010

Cara Berkempen Bukan Ala Malaysia


PADA 6 Mei ini rakyat Great Britain akan membuat keputusan penting: Memperkekal pemerintahan Parti Labour atau menyingkirnya. Parti Labour (kini pimpinan Gordon Brown) telahpun berkuasa selama l7 tahun!
Saya tidak begitu terpesona dengan parti mana yang bakal menang—sama ada Parti Buruh pimpinan Gordon Brown, Parti Conservative pimpinan David Cameron ataupun Parti Liberal Democrats pimpinan Nick Clegg.
Saya hanya terpesona dengan isu dan cara ketiga-tiga parti itu berkempen.
Yang jelas, tidak terdengar munculnya calon-calon bertanda harga yang berdebar menanti untuk dibeli. Juga, turut jelas, para calon pilihanraya itu tidak coba membenam sesama sendiri melalui pembeberan kisah glamor dan songsang peribadi masing-masing.Yang diutamakan ialah soal isu penting dan landasan parti. Isu—untuk umum; landasan—untuk parti.
Khabarnya, “bahan” terbesar ialah masalah mengatasi defisit kantung negara. (Britain rasanya tidak mempunyai dana dulang emas sesubur Malaysia!). Oleh kemelesetan ekonomi dunia, lebih-lebih lagi oleh pemborosan belanja melanggar Iraq, ekonomi Britain telah menguncup dan sedang mencungap. Lalu, masing-masing pemimpin coba membentangkan peta cara dan kerja mengatasi masalah darurat itu.
Pemimpin Liberal Democrats—Nick Clegg—sedia mengikis projek mempermoden armada kapal selam Britain. Terlalu menggunung belanjanya, hujah Clegg. Ada masalah lain yang lebih utama dan mendesak—rancangan kesihatan dan pendidikan.
Dalam simpang-siur kempen khabarnya Nick Clegg sangat menyerlah. Wajahnya tampan, inteleknya santan. Sejauh ini, Gordon Brown daripada Parti Labour sempat diistilahkan sebagai petanding “yang kembali dari tanah pusara”. David Cameron pula sempat diwajahkan sebagai tenaga penentang yang titan.
Kembali kepada soal isi dan cara berkempen, tampaknya, tidak terimbas kesiasiaan atau kecurangan yang mendedah. Ketiga-tiga parti utama itu ternyata sedar akan batasan tindakannya. Parti Buruh coba “membuat” sesedikit kesilapan—contohnya, tidak memperalatkan jentera kerajaan untuk kerja kempen partinya. Malah, Gordon Brown tidak pun mengumumkan sebarang projek gergasi atau mencurahkan dana dulang emas seenaknya.bagi pemancingan undi.

Friday, April 30, 2010

Perampok Tanah Air


Kini kita wajar menilai pemimpin sekeluarga—
mereka yang petanya tidak terjangkit wabak pelupa.
Kita perlu mendengar degupan batinnya yang insani;
bakal tumbuhkah benih yang terharum di ladang sendiri?
Kita harus meneliti pemimpin yang membuak mewah;
apalagi yang terbukti menimbun dana keluarga.
Mengapa bisiknya menggema menyaring jeritan
sementara jeritnya melemah pula jadi bisikan?
Kita wajar sangsi mereka yang bau ringgitnya hangit,
sepantas mana mereka menjadi kuasawan boncit.
Dan benarkah murni suara syair dirinya yang dusta
atau merekalah penggelora janji pelindung dosa?
Usah langsung dipercaya segala yang tertayang luhur,
manis petah berjanji—lakon yang sangat cantik teratur.
Kerana, memang makin ramai yang muncul bertopeng fakir,
sesenyapnya merekalah para perampok tanah air.
Kejujuran yang tulus di luar dan terindah di dalam—
paling luhur itulah sebenarnya negara idamkan.
Usahlah direlakan kehidupan kita mewah kini
dengan sengaja melarakan nasib generasi nanti.
9—13, September, 2009. A. SAMAD SAID.

Tuesday, April 27, 2010

Bermenung Tentang Erti Kekalahan


Bermenung Tentang Erti Kekalahan
MINGGU lalu hari kekalahan saya yang sangat memilukan.Calon matang dukungan Pakatan yang saya sokong di Hulu Selangor dikalahkan oleh calon muda dukungan Barisan. Saya bermenung lama tentang kekalahan ini. Logikanya mungkin begini:
Saya mengucapkan tahniah kepada beberapa pihak yang memungkin dan memangkinkan. Pertama, sokongan Perdana Menteri ke-4 (yang mulanya dikatakan tidak akan berkempen) tampaknya meranum.
Kedua, sokongan beberapa orang bekas “tokoh” parti Keadilan yang tampaknya secara mendadak merasa tidak serasi berpakat lagi. Mereka menjerit keluar parti pada saat paling cantik—musim berkempen. Dengan begitu, sempatlah mereka membantu Barisan. Tahniahlah kerana berhasil melumpuhkan sejenak bekas partinya.
Ketiga, kerjasama segelintir kaum peladang yang tidak tersangka (kerana mereka sebenarnya telah menunggu 15 tahun) tiba-tiba menerima cek panas bernilai RM50,000 setiap seorang. (Bakinya akan menyusul—diharap tidak selambat 15 tahun lagi!) Mereka dan teman seputarnya tentunya tergalak untuk mengundi parti yang sangat mendadak bermurah hati itu.
Keempat, jentera media massa utama yang sentiasa condong sebelah—terkadang terlalu sengit. Hampir saban hari selama musim berkempen mereka adalah “pemuji” (tentunya memuji Barisan) dan “pengeji” (tentunya mengeji Pakatan). Tidak mustahil layar mega yang dipaparkan seiring corong jerit yang disediakan telah terlalu menggempitakan kebaikan budi tuannya saja.
Dan, akhir sekali—sepatutnya ini yang utama—semua wira Barisan hampir berpesta di Hulu Selangor (daripada peringkat Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri, malah bekas Perdana Menteri!) Apalagi yang kurang?—kerana setiap ucapan mereka sentiasa digandingi atau disokongi bayangan kerdipan isi dana dulang emas yang sentiasa tersedia di sisi kuasawan itu.
Sementara, di sebelah Pakatan, mereka juga berkerja keras. Saya sempat bersama Datuk Seri Anwar pada malam puncak pertama berkempen. Puisi memanglah bukan wang ihsan daripada dana dulang emas yang boleh cepat bersilap mata. Puisi selalunya adalah doa hati nurani. Ya, kalah setakat ini, tapi saya akan sedia membantu Pakatan lagi. Kepada sdra Zaid, saya ingin berjanji (maaf, terhilang pula kata Melayunya) pinjam dululah lirik Michael Jackson dalam bahasa PPSMI: “I’ll be there!”

Sunday, April 25, 2010

Suara Tulus


Suara ini lembut menghiburkan
dunia resah rindu diceria;
bisik udara tidak terhuraikan
penuh harapan di sisi doa.
Suara ini tulus mengindahkan
rimba damai segaran bunga;
harum rasa paling mengharukan
memupuk buana berhikmah hemah.
Tulus hati landasan maruah,
khidmat murni bakti mengerti;
tak mungkin terisi hajat semua
begitu kemasnya susun alami.
Suara ini yang bakal dibaja,
menjernih fikir meluhur hati;
akan terimbas ufuk syahdunya
rimba bernyanyi senyuman diri.
Rindu Ibu
2004

Wednesday, April 21, 2010

PELAMIN KUASA


(1)
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba
atau digalak bangsawan memetakan hidup kita.
Hemah sejarah telah mencatat hikayat perang
banyak merakami watak begini yang sering menang.
Menara kuasa yang diregangi niagawan lapar
selalu serasi berkongsi dengan bangsawan gusar.
Mereka sekedar pelolong janji sedap diucap—
resah bangsa kayak untuknya saja menikmat kecap.
Mereka berkucup kuasa lepas pilihanraya,
mencanang wawasan terjempol pemimpin rasukannya.
Awal kuasa diumum kempisnya saku mereka;
akhir tahta jarang pula disebut boyot hartanya.
Mereka pengilham pintar projek sekembung belon,
menggendut bahasa tuan arca semewah bilion.
Lidah ibunda sengaja dilucai kacip kuasa,
malah diseret keluar istana Akta Bahasa.
(2)
Khazanah kita titisan peluh nelayan, petani,
peladang dan pekerja berbahasa bunda sejati.
Mereka setulus hati merenda sejarah diri,
membabat ayat yang sudah amat lama digergaji.
Kini kelompok berdarjat ghairah menyemai dinasti,
bumi seolah sahamnya saja untuk dibahagi.
Gelodak peristiwa hanya penaka silap mata
giur catur yang bersimpang-siur di jalur kuasa.
Mereka ini Lini baru dalam songket Melayu,
berdakap hajat bercapal dan bersongkok SiHit baldu.
Mereka hartawan boyot di pentas wira haloba,
niagawan bangsawan yang pintar perkuda kuasa.
Mereka telah dibekalkan semontel-montel dana,
tampaknya makin bernafsu menoreh lidah moyangnya.
Niagawan dan bangsawan kini bersanding kuasa
menjamu projek dan meratah dana semewahnya.
Rakyat perlu menghakis mimpi yang terlalu buana
supaya tak segelintir saja menogok kuasa.
Jangan dibiar niagawan berfikir untuk murba;
usah digalak kuasawan terus menconteng peta.
12—24, April, 2009. —A. SAMAD SAID

Tuesday, April 13, 2010

Banyak Kuih, Banyak Puspa, Banyak Kata


JUMAAT lalu—9, April—ramai teman seniwan meraikan 75 tahun usia saya. Banyak kuih, banyak puspa, banyak kata. Tapi, sebenarnya pada malam itu, bermulanya pameran solo lukisan saya—“Kata Luhur”—di Balai Seni Lukis Negara. Di situlah segala kemeriahan tertumpah.
Sepatutnya, saya gembira. Tapi, qalbu saya terdera kerana sepanjang hidup dewasa saya asyik saja menyaksikan negara resah. Itulah juga sebenarnya antara deduri kehidupan yang tercurah ke dalam 100 buah lukisan saya.
Kenapa, ya, qalbu terdera? Orang tua gemar memetik kiasan—menjengah jauh menggali iktibar. Ciumilah betul-betul harum-hanyir sejarah kontemporer kita.
Malaysia sepatutnya sudah mewah—malah bahagia. Orang Melayu dengan segala peluang dan dana dulang emasnya sepatutnya makmur dan bahagia. Mereka menjadi akar segar kebahagiaan bagi semua rakyat Malaysia. Tapi, realitasnya sangat membingungkan. Pedih malah. Ekuiti bangsa sendiri pun kini tercatat tinggal hanya RM2 bilion. Awalnya RM54 bilion. Siapa penggogoknya? Itu baru sekedar satu contoh. Dan, renungilah, kita sudah 6 dekad Merdeka di bawah 6 PM Melayu—(saya ulangi: di bawah 6 PM Melayu)—yang kesemuanya wira UMNO!
Jika sesudah perjalanan sejauh itu dengan kuasa amat lama di tangan, tiba-tiba kita masih juga perlu diselamatkan Perkasa, apakah hikmahnya 5 dekad kita berkuasa?
Lukisan ringkasnya mungkin begini: Kita sering di tengah percakaran. Kesani sajalah peta kuasa pemimpin kita. Cantik mulanya. Tun Razak yang tenang berilmu serasi di sisi Tunku—satu permulaan penuh cemerlang. Tun Hussein yang peneliti memang tidak sempat banyak berbakti kerana singkat usia pentadbirannya. Hanya selepas mereka berdua tampaknya bermulalah musim “Melayu mudah berbalah”. Antara contoh tercantik lima dekad ini. Paling jelas:
Tun Mahathir berbalah dengan Tunku; tidak selari dengan Tun Musa; kurang selesa dengan Tengku Razaleigh; bergeser dengan Datuk Seri Anwar; mengkritik Tun Abdullah petikannya sendiri; juga, mulanya, membidas PM Najib. Apa, ya, yang kita sempat jumpa dalam belantara iktibar?
Jumaat lalu saya menyambut 75 tahun. Banyak kuih, banyak puspa, banyak kata. Dan banyak lara!

Wednesday, April 7, 2010

Melalui bahasa kicau yang tangkas


BEBERAPA adegan terbaru dunia siasah tampaknya semakin surreal atau separuh hikayat. Mula jelas dan kerap terenjis—barangkali tersimbah—wang ihsan daripada dana dulang emas dalam keghairahan dan keborosan baru pilihanraya. Pembangkang, seperti biasa, terpaksa berjimat belanja mencermati dana pinggan tembaganya.
Memang kempen siasah sudah pun bermula pada ketika yang sebenarnya belum pun wajar bermula. Tapi, siapa peduli “peraturan”? Memang kini semakin muncul kuasa yang tidak lelaki lagi.
Kuasa, tampaknya, memang adik beradik harta. Makanya, harta tolong kuasa; kuasa gogok harta. Begitulah kini ragam dan resam kuasawan baru mendaki puncak banjaran gelojohnya.
Bagi sesetengah siasahwan memang perlu bergayut dulu pada kuasa. Sangat utama. Apa yang terjadi kemudian—tak mengapalah. Sebab, harta sudah bergayut mesra pada baju bertanda harga. Matlamat lain—tentunya ada—dan tentunya akan lebih mudah disambar selepas ada harta. Ingat, harta tolong kuasa, kuasa gogok harta!
Dari satu sisi—khususnya di Hulu Selangor kini—tentulah sudah ada ibu bapa yang terbeliak melihat sekelompok kanak-kanak yang bakal dipercantik menjadi permata. Malah, sudah pun terbayang curahan RM200,000 “royalti—atau wang ihsan” daripada dana dulang emas kepada projek yang sangat manis dan semendadak itu.
Entahlah, pengenalan terbaru iPad nanti mungkin juga akan lebih cepat mencanggihkan kita. Tidakkah mainan baru iPad itu nanti boleh menjadi hadiah agihan untuk mempertebal kuasa. Sudah adakah yang terfikir ke situ?
Tapi, masih sangat wajar diinsafi bahawa kegelohohan itulah yang biasanya membuat orang—khususnya Wakil Rakyat bertanda harga—berdoa (luhurkah doanya itu?) agar mudah-mudahan dirinya cepat terbeli.
Sekali lagi, di sebalik latar klasik mutiara kata pemimpin “Melayu mudah lupa”, sudahkah dilupa (atau masihkah kau ingat?) melalui bahasa kicau (twitter) yang tangkas dan cerdas serta yang cengkam dan menikam, kata rakyat pula: “Melayu ingat bangat!”. Betapapun, tentu saja bergantung kepada orang Melalu yang sempat dan cekal bertanya mengapa, ya, setelah 6 PM Melayu berkuasa bangsanya semakin diingatkan tercabar? Apa yang dibuat mereka selama enam dekad berkuasa?

Tuesday, March 30, 2010

Bukan kata “Orang Tua Dari Sejarah”


MINGGU lalu puisi membawa saya kembara ke Selatan pula. Cuaca indah, sambutan mesra. Saya baca tiga buah puisi di pentas siswa di Universiti Teknologi Malaysia. Janjinya saya hanya mendeklamasikan “Hidup Bersama” yang saya tulis sedekad lalu. Tapi, saya digalakkan—maka saya baca dua buah puisi tambahan: “Tikaman Dalam Seloka” dan “Orang Tua Dari Sejarah”.
Dengan bekalan royalti baca puisi yang sangat selesa, saya menyeberang ke Singapura. Sempat sarapan di Arab Street; sempat ke Masjid Sultan; dan kemudian sempat tenggelam hampir empat jam di pustaka buku seputar Orchard Road. Ghairah membeli buku “Malaysian Maverick” oleh Barry Wain yang tak terjual—atau terlarang—di negara saya.
Dalam bas ke Singapura, saya sempat membaca berita-berita genting tentang mesyuarat agung pertama Perkasa. Penuh semangat, penuh selaran—juga sindiran—oleh Perkasawan atasan. Melayu sedang dicabar—begitulah intinya. Tapi, saya terfikir juga, bukankah segelintir perkasawan Melayu itu sendiri yang mula mengacip martabat rajanya dulu. Sudahkah kau lupa atau masihkah kau ingat?
Aneh, kini kita pula diingatkan tentang bahaya yang kita ilhamkan sendiri.
Siapa pula pengingat ini? Sebelum benar-benar menelannya, wajar dan waraslah kita selongkari latar (depan-belakang) wira-wira kita itu. Kenapa perkasawan ini tiba-tiba muncul demikian garang sekali?
Siapa, ya, penegaknya yang jujur itu? Siapa, ya, yang sangat bermurah hati mendanainya? Siapa, ya, yang mula menjeritkan kesengsaraan kita ini?
Dalam kereta api pulang ke Kuala Lumpur, sempatlah saya mengunyah sedikit buku “Malaysian Maverick” oleh Barry Wain. Sangat menarik, walaupun kita wajar berhemah dan berhikmah sebelum menelan segala. Contohnya, tentang “kerugian” iktisad yang ditimbulkan selama dua bekas Perdana Menteri kita berkuasa. Waduuh, berbilion! Kata Barry Wain, ya, bukan kata saya!
Pemimpin utama negara kita sebenarnya didudukkan pada kerusi yang terhormat juga. Contohnya lagi (kata Barry Wain, bukan kata saya): “Dr. Mahathir was one of the most successful and enlightened.” (Halaman 342).
Tapi, kata Barry Wain, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong “clearly outperformed him.” Sekali lagi bukan kata “Orang Tua Dari Sejarah” atau “Tikaman Dalam Seloka.”

Tuesday, March 23, 2010

Sangat Selesa Saling Berdusta


DUA minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat—berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.
Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.
Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini “sah” penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.
Saya cuma ingin menaati pesanan Ka’ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka’ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.
Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah—terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin “jet” sendiri; tertular pejuWang melelong diri.
Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan—dan serentak— menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.
Lihat—kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?). Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?). Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?). Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas PM; berhujah tentang pencemaran makna “royalti”; berdebat tentang mengapa selepas 6 PM Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?
Pemimpin kita hanya duduk semeja sejak Merdeka. Mereka sangat selesa saling berdusta. Dan gemar menyebut “Melayu mudah lupa!”

Wednesday, March 10, 2010

Yang Penting Mutu, Bukan Kutu


DALAM dua tahun ini kita bakal menghadapi cabaran yang genting dan getir. Apakah benar bahasa Melayu bakal sejujurnya dimartabatkan? Yang jelas, pada 1987, Akta Bahasa dimaruahi; pada 2003 Akta itu diludahi. Dan kini bahasa Melayu sedang gusar dalam buana mimpi.
Sebenarnya, sehingga kini kita masih hidup dalam dunia janji. PPSMI belum dimansuhkan. Ia ditangguhkan. Kita baru dijanjikan bahawa dasar itu akan hanya terhenti pada 2011 atau 2012. Maka itu, wajarlah kita hubaya terhadap peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar bahasa.
Di sebalik latar inilah, saya harap perlawanan seni kita itu akan terus menyegar. Memang perlu sentiasa ada gerak daripada kita. Perlu terus dijeritkan lara bahasa di tengah malam. Dan jika merasa lelah, biarlah diam kita diam yang sufis.
Kita ada kelompok Budayawan Bertindak untuk menjayakan ini. Dengan tabah, tapi tekun, mereka bakal cekal bergerak. Biar setapak, tetap ke depan; biar setitik, tetap berkocak.
Sebagai badan seni kecil yang sasa, hendaknya Budayawan Bertindak janganlah cepat menelan sebarang slogana janji peruncit kuasa. Peruncit kuasa ini memang terbiasa dengan cara kerja “pantas pintas pentas”. Apalagi di sisinya sedia terhidang dana yang gergasi. Rahsia kejayaannya: Mereka memang jarang menggunakan tangga; mereka juga jarang menggunakan lif. Sebaliknya, mereka menggunakan helikopter dan turun enak dari atas.
Kelompok jenis ini memang sangat berkuasa. Dengan magis helikopternya, mereka mendadak menjadi hartawan. Kekayaannya bukan lagi hujan lebat; kekayaannya, banjir memampat. Makanya, mereka mempunyai dana mengejut yang boleh mengecutkan sesiapa saja, jika sesiapa itu masih manusia—maksudnya, bukan kelompok vampir.
Memang mereka inilah saingan kita—peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar!
Contohnya, melalui kuasa dana terduduknya itu, mereka mampu menghadirkan yang ghaib; dan menghaibkan yang hadir.
Situasi siasah sedang bergolak gelisah. Mula ramai pejuang menjadi pejuWang. Terlaksanalah “seleksi alami”. Eloklah. Sebab, yang penting mutu, bukan kutu!

Thursday, March 4, 2010

Jangan Ulangi Kerja Lanunan


PADA 7 Mac ini, saya akan mengenangi semula sesedarnya bagaimana di tengah arus 100,000 para demonstran, saya telah disambut dengan permaidani najis oleh pemerintah saya. Waktu itu saya hanya ingin menjunjung betapa murninya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Malang, saya dicemuhi. Jika diluhuri, mengapakah pendukung hajat murni itu mesti dihadiahkan air dan gas yang pedih dan pedas?
Pada 7 Mac ini genaplah setahun peristiwa PPSMI yang amat memalukan itu.
Dan, sayangnya, kita sebenarnya masih terus dimalukan—mungkin sehingga tahun 2011 atau 2012. Kalaulah janji menteri janji keramat.
Sebelum menyertai gerakan murni GMP itu, saya telah cuba menghadami semangat Perkara 152 itu. Saya pelajari bahawa Perlembagaan di bawah Perkara 159(5) itu jelas menyebut bahawa kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Saya ulangi “kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja.”
Tapi, ternyata bukan begitu yang dilaksanakan.
Fahamilah bahawa segelintir pemimpin leluhur Kemerdekaan kita telah dengan penuh sedar dan bijaksana melandaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara demi perpaduan dan kesejahteraan bangsa. Malangnya, segelintir pemimpin masa kini kita sangat terpesona dengan “keistimewaan” masa kini, lalu terlupa atau sengaja melupakan keluhuran perjanjian masa lalu.
Kita telah—dan mungkin sedang—memulakan kecenderungan baru yang sangat menggerunkan. Kita merobah sesuatu tanpa merujuk dan menyetiai perlembagaan leluhur lalu. Jika semua kemurnian perlembagan masa lalu dicarik seenaknya oleh pemimpin masa kini—dan pemimpin masa depan—tanpa meluhuri perlembagaan masa lalu, apakah kita sengaja ingin mengajar cucu-cucu kita supaya jangan segan “kencing berlari”?
Itulah tampaknya budi bahasa yang sedang kita pupuk. Kita membiarkan seorang Perdana Menteri yang secara angkuh dan mendadak melanggar Akta Bahasa ketika sedang di ekor kuasanya pada 2003! Kita seperti terlupa bertanya mengapa visinya itu membernas terlalu lambat?
Jika sungguhpun kita yakin bahawa bahasa Melayu tidak mampu memberi rezeki global, lakukanlah semurni santun. Pindalah Akta itu dulu jika Akta tersebut sangat menghalang rezeki global bangsa. Janganlah mengulangi kerja lanunan itu.
Pada 7 Mac ini, itulah yang saya ingin kenangi. Sungguh pedih.

Thursday, February 18, 2010

Mendengar Ombak Di Pantai Qalbu


SAYA memanglah seorang pembaca buku yang lambat. Kurang tepat—saya adalah pengunyah buku yang lumat—atau mungkin, lebih tepat: saya adalah peleka buku sepenuh nikmat.
Benar, saya bukanlah pembaca yang pelari. Bukan kerana saya tidak ingin cepat tiba ke akhir buku, tapi lebih kerana saya ingin lama bersapa—dan mendakap—setiap kata yang berlinang nikmat.
Kata-kata adalah kerdip fikir dan bisik tafsir; kata-kata juga adalah titian seni ke ilmu murni. Makanya, mengapa harus gopoh berlari, meninggal atau tertinggal pesan yang sakti? Mengapa tidak cuba sabar dan tekun berhenti, khusyuk meneliti, daripada hanya melihat (atau terlihat) imbas pepohon, kabus jendela atau kelibat insan!
Ketika membaca, saya ingin benar menikmati permata ilmu, dan lebih bermakna, jika saya dapat juga mendengar debur ombak di pantai qalbu. Juga, mendengar senandung alam semesta.
Selalunya, serentak saya mengunyah tiga empat buku (ia boleh suara Tariq Ramadan atau telahan J. Esposito; ia juga boleh bentak Ravi Batra atau deklamasi Rendra). Saya menikmati setiap yang dilihat, mendengar getar irama kekata, menekuni degup qalbu syahdu berseru, juga belajar menggali falsafi baru.
Buku yang baik—tua dipandang, muda disayang. Setiap halamannya adalah pepintu baru, penyegar bijak, pendidik luhur, pendekat matlamat. Buku itu pengalaman. Jika berduka isi, ia sepantun lelaki sedu atau wanita pilu. Jika bergelora isi, ia adalah pelaut di gelombang atau pendaki di puncak suram.
Begitulah sesedikitnya—kalau benarlah sedikit—jasa buku terpilih. Ia lambat dibaca, tapi amat bergema gaungnya. Dan dalam khusyuk tertentu buku menyemai mimpi yang dahsyat, menuai celek yang nikmat.
Cuma, elakkanlah musim jemu—seperti dijauhkan saya dari pengkhianat, buku tebal yang tipis. Sebaiknya, curahilah saya halaman nan wangi—seperti dekatkan saya kepada adegan terindah, buku yang tipis tapi yang sasa.
Makanya, temukan saya khazanah Usman; pimpin saya ke rubaiyat Khayam; dekatkan saya ke api Rumi; syahdui saya ke ayat suci. Dan jangan lupa, jauhkan saya dari kuasawan licik, niagawan berpeta dan bangsawan pelupa!
Begitulah ragam saya membaca. Berbisik yang lambat, mengunyah yang lumat.

Saturday, February 13, 2010

Terasa Sangat Suramnya Senja


Tidak selalu orang ghairah bercakap tentang dunia yang runcing. Dan saya pun, cuba menjauhi dunia sedemikian. Begitulah yang berlaku semalam—hari Jumaat—ketika saya sedang bersyahdu di masjid—datang seorang bertanya:
“Bapak memang kenalan baik Rosiah Chik?”
Saya tidak tersangkak mengakuinya sambil cepat mengenangi cebisan beberapa peristiwa bersama biduanita Ghazal itu.
Pada 2006, Rosiah Chik menjadi arwah.
“Itulah yang ingin saya tahu,” jelas sahabat tadi sambil bertanya di mana dapat dibacanya puisi tersebut.
Maka, saya siarkan di sini:
MALAM ROSIAH
Terasa sangat suramnya senja
damai yang hening malam Rosiah;
dalam sepi yang tidak dijangka
giliran damaimu ke pusara.
Suaramu yang payah disalin
kembali memercikkan kenangan
menghantar debar ke qalbu tulen,
mengindahkan malam yang kempunan.
Lagumu berakar batin purba
mengusik pantai membisik cinta,
nafasmu mesrai malam jejaka,
mengganggu senja si anak dara.
Kau disenandung dekad P. Ramlee,
dilembut biola Hamzah Dolmat;
nafas senimu santun serasi
getar budaya ke tahap nikmat.
Tahi lalatmu di sisi bibir
gincu menjerit sirih bergambir;
mata mengenyit, senyum memancing,
cara dekadmu menyembuh rungsing.
Kaudamaikan debaran di dada,
lestari lagu kenangan lama,
di pentas seni selama ini
lidahmu lemak santan bercili.
Terasa sangat suramnya senja,
tidurlah, damailah, Cik Rosiah.
25—27, Januari, 2006. A. SAMAD SAID.
Bangsar Utama, KL.

Sunday, February 7, 2010

Puisi Indah Ke Novel Sejarah


KETIKA saya kali pertama membaca “Dr. Zhivago” karya Boris Pasternak, novel tersebut sebenarnya telah terpendam lebih dua dekad dalam bahasanya sendiri. Keadaan itu membuktikan betapa “menyentuhnya”nya novel tersebut kepada kuasawan Russia. Boris Pasernak yang amat masyhur kerana puisi-puisinya kini turun ke dunia naratif yang lebih “benderang”. Sejak awal—dengan latar kehidupannya yang senyap memberontak itu—karyanya dianggap “berbahaya”. Hanya pada 1957 novel tersebut lahir dalam terjemahan Italinya. Dan setahun kemudian novel tersebut lahir dalam terjemahan Inggeris sebelum merebak ke bahasa-bahasa lain.
Saya terserempak dengan novel ini di sebuah kedai buku di Hill Street, Singapura. Sebelum itu, pada tahun tersebut di kedai yang sama, saya terserempak dengan novel “Yukinogi” (“Snow Country”) oleh Yasunari Kawabata. Betapa berpengaruhnya kedua novel ini dapat disaksikan sendiri apabila Boris Pasternak dan Yasunari Kawabata merangkul Hadiah Nobel selang setahun di antaranya.
Saya menyenangi “Dr. Zhivago” sebenarnya secara berdikit—bermula dengan meminati puisi-puisinya yang sangat indah.
Ada beberapa sebab penting mengapa “Dr. Zhivago” sangat memikat bagi saya. Pertama, novel ini berupaya mengesan sejarah sebuah bangsa yang sedang melalui dekad pancarobanya. Kedua, novel ini berjaua merakam gelagat harian masyarakat baru Russia yang sedang keras bergolak. Ketiga, “Dr. Zhivago” merenjiskan fragmen-fragmen peristiwa harian secara bertingkat—memungkinkan kita menghayati gelora kehidupan sebuah bangsa yang sedang berobah.
Beberapa watak pentingnya dijejaki dari awal untuk memperlihatkan kewajaran pertumbuhan tabii dan tindakan mereka dalam satu pergolakan peristiwa yang begitu mencabar, malah mendobrak. Tokoh utamanya sendiri dikesan sejak kecilnya sehingga menjelang dewasa sebagai seorang doktor.
Keempat, novel ini ditulis atau dihidang melalui teknik atau cara penyampaian yang benderang dan indah. Kita secara berdikit diperkenalkan kepada gumpalan watak yang ramai sehingga meyakinkan kita bahawa memang inilah sebuah kehidupan yang real. Akhir sekali, “Dr. Zhivago” diiringkan dengan beberapa buah puisi indah yang memperjelas peralihan era dalam sebuah masyarakat terdera.
Kini saya sedang menekuni pula “Dr. Zhivago” dalam terjemahan Indonesianya!

Sunday, January 17, 2010

DUA BUKU SATU TUJU?


Hampir sepanjang minggu ini saya seronok mengunyah serentak dua buah buku secara bergilir: sebuah fiksi (“The Last Station”) dan sebuah lagi non-fiksi (“Freefall”). Saya terpikat khusus tidak saja kerana tema buku-buku itu, malah kerana kemasyhuran penulisnya. “The Last Station” ditulis oleh Jay Parini yang sangat terkenal dengan biografi John Steinbeck dan Robert Frost, sementara siapa pula tidak mengenal Joseph E. Stiglitz? ( Ingat: “Globalization And Its Discontent”.)
Novel Jay Parini merakamkan kehidupan tahun terakhir Leo Tolstoy dari kaca mata isterinya, anaknya, doktornya dan pembantu peribadinya (dan ada lagi!). Beberapa cebisan kehidupan syahdu Tolstoy dirakamkan semengerti mungkin oleh Parini.
Contohnya, Sofya Andreyevna (isteri Tolstoy yang pencemburu itu) sempat merakamkan detik menggiurkan asmara mereka. Sasha, anak gadis Tolstoy yang terlalu mengasihi ayahnya itu, mengakui beruntung sebagai puteri pujangga Russia.
Makavitsky sebagai doktor peribadi dan Bulgakov sebagai setiausaha Tolstoy masing-masing mengagumi peribadi istimewa tuan mereka. Dengan watak-watak semanis dan secemburu itu apakah Tolstoy benar-benar sempat hidup bahagia? “The Last Station” merakamnya secara indah dan penuh mengerti.
Berbeda pula dengan “Freefall”—buku terbaru Joseph Stiglitz—kandungan atau “kisah”nya lebih murung, malah menjengkelkan. Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang ekonomi ini menyusuri punca ketimpangan mendadak ekonomi Dunia (khususnya Amerika) pada 2008. Apakah yang wajar dipelajari daripadanya?
Keluar masuk koridor kuasa George Bush dan Barrack Obama, Stiglitz tanpa berselindung menyalahkan gologan pakar bidang ekonomi sendiri sebagai penyebab malapetaka. Menurut Stiglitz, kemacetan syarikat Lehman Brothers, upaya menasionalisasi Fannie Mae dan Freddie Mac dan penyelamatan syarikat gergasi AIG ternyata satu musibah besar negara. Sangat menarik (malah menghemah) apabila Joseph Stiglitz menyelar peranan Alan Greenspan dan Ben Bernanke (watak besar ekonomi Amerika) serta menyergah upaya menyelamatkan kelompok syarikat gergasi yang ternyata memakan marhaennya sendiri?