Wednesday, July 21, 2010

Kalung Permata Berlilit Falsafah


AWANG Bakhil sangat menyerlah dalam drama muzikal karya Usman Awang. Pak Utih juga megah. Misha Omar sebagai Dara dan Razali Hussain sebagai Uda—masing-masing—menghurai kisah penuh pilu, penuh malu, tapi syahdu. Sebab, kisah mereka tampaknya sama benar di zaman kuno dan di zaman kini. Apalah ertinya emas sesaga.
Disedari atau tidak, yang menggeletar—pada setiap malam pementasan—tentu sajalah pemegang dana pementasan—Haslina Usman—anak seniman yang cekal dan bangga dapat melestarikan khazanah seni ayahnya.
Pada malam kedua terakhir pementasan (malam saya menontonnya) hampir serentak ketika menghayati persembahan itu, saya kerap terkenangkan Usman Awang—terlihat dirinya khusyuk di meja cipta, kemudian dirinya resah di khemah mogok.
Drama “Uda dan Dara” adalah bauran ketenangan dan keresahan itu.
Memanglah benar yang ingin dipamerkan dunia real Usman Awang—inti pengalaman seorang seniman; visi luhur seorang pejuang. Maka di Istana Budaya pada malam itu terimbaslah dunia kuno yang meresah di tengah dunia kini yang mendera.
Usman memberitahu: Wang boleh membeli segala—tentulah termasuk kuasa. Dia mengingatkan cinta luhur hanya idaman. Mata bening seorang Dara, tumit tegap seorang Uda memang sempat menjadikan drama muzikal itu sebuah kisah penuh pesanan: Beradab hidup zaman purba, berhajat adil sesama manusia terkadang mudah dicemari tangan pengkuasa. Di atas pentas moden dunia purba itu terkerdip iktibar bahawa yang dikejar masih mudah disambar orang; yang tercicir tak pula mesti sempat dikutip sendiri.
Nyatalah pepatah petitih, syair dan pantun, selesa bersanding membenihkan kalimat yang sangat memujuk di atas pentas yang indah, gagah, juga—anehnya—resah. Masyarakat Pak Utih (orang tua yang sangat falsafi) terbayang hadir di tengah khalayak peniaga yang jarang sedacing; di tengah penghujah yang tidak sedia sekata. Masyarakat ini bakal berlinang air mata, ramal Pak Utih. Begitulah tampaknya tertulis kitab seni seorang seniman, kalung permata berlilit falsafah—Uda dan Dara.

Thursday, July 15, 2010

Bumi Rezeki


Tak betul billiona tergogok—
bantah kuasawan nan belolok.
Sebab, jika itulah yang benar,
mengapa dana tampaknya segar?
Sangat keruh hujah sang kuasa;
terlalu arif berpantun lidah.
Maka, yang luhur diheboh kotor;
yang bening pula ditakbur tohor.
Bumi Cik Siti nafas rezeki
minyak mengalir tanpa royalti.
Cucu Tok Janggut saja ditekan;
sesekali diberilah wang ihsan.
Iktisad bangsa sedang terluka;
pintar dihias cantik gerafnya.
Sebenar, titis peluh rahsia:
Minyak Kelantan penyeri dana.
9—16, Julai, 2010.  A. SAMAD SAID